Harga kereta akan meningkat bila SST dilaksanakan

Harga kenderaan akan mengalami sedikit peningkatan sekiranya kerajaan Pakatan Harapan meneruskan agenda memansuhkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) 6% dan mengembalikan sistem cukai barangan dan jualan (SST) 10%, kata Edaran Tan Chong Motor (ETCM).

Pengarah Pasaran ETCM Christopher Tan dipetik portal berita permotoran, Paul Tan berkata, mungkin bukan semua model tetapi sekurang-kurangnya kenderaan Nissan Serena S-Hybrid yang dijual oleh ETCM akan mengalami peningkatan harga.

“Hampir semua jenama, apabila kami beralih daripada cukai jualan kepada GST, harga mereka sebenarnya jatuh sedikit,” kata Christopher.

“Jadi sekiranya situasi seperti cukai jualan dilaksanakan sama seperti sebelum ini, akan berlaku peningkatan harga sebenarnya. Apa yang saya boleh katakan buat masa sekarang adalah mungkin sekarang adalah masa terbaik untuk membeli (kenderaan), kerana jika ianya berlaku anda mungkin akan membayar sedikit mahal pada masa hadapan.”

Untuk perbandingan harga sebelum dan selepas GST, portal berita Mole.my menjelaskan harga kenderaan jenama Subaru menikmati potongan harga sehingga RM12,000 selepas pelaksanaan GST pada April 2015.

Sementara Nissan pula mengalami penurunan sehingga RM2,700, contohnya harga Nissan X-trail turun RM1,953 bagi varian 2.0l sementara 2.5l turun RM2,162.

ETCM walaubagaimanapun menerusi Skim Perlindungan Harga berjanji akan memulangkan kembali lebihan wang dibayar oleh pelanggan yang membeli kenderaan sebelum pemansuhan GST oleh kerajaan Pakatan Harapan.

Kata Christopher, pelanggan yang membeli model Nissan bermula pada bulan ini akan diberikan dipulangkan semula jumlah harga yang turun sekiranya pemansuhan GST benar-benar menurunkan harga.

Berhubung tarikh pemansuhan GST, Kementerian Kewangan (MoF) belum lagi mengeluarkan tarikh pemansuhan, tetapi Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan bermula 1 Jun ini, GST adalah pada kadar 0%.

Dipetik Berita Harian, MoF menggesa agar semua peniaga berdaftar GST terus mengenakan caj tersebut sehingga sistem SST dikembalikan. – md

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.