Otai Reformis dakwa pembahagian kerusi kabinet PH tak adil

 
Otai Reformis mendakwa pembahagian kerusi kabinet Pakatan Harapan tidak adil, mahu Majlis Presiden Pakatan Harapan lebih adil terhadap Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP dalam pelantikan Kabinet baru.
Timbalan Ketua Otai Reformasi Pulau Pinang, S Sanjay berkata, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad diminta supaya memberi lebih banyak jawatan menteri penuh kepada PKR dan DAP.
Katanya, kedua-dua parti tersebut wajar diberikan lebih banyak jawatan kerana kerusi Parlimen dimenangi dua parti itu lebih banyak berbanding parti lain dalam pilihan raya umum pada 9 Mei lalu. 
Beliau berkata, pelantikan menteri persekutuan, senator dan exco di negeri di bawah kepimpinan Pakatan Harapan sepatutnya melambangkan kekuatan sesebuah parti komponen gabungan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Baru-baru ini, Mahathir telah mengumumkan senarai Kabinet mengandungi 13 Kementerian, di mana DAP mempunyai empat menteri, dan masing-masing tiga bagi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), PKR dan Parti Amanah Negara (PAN).
Sanjay juga berkata, kumpulan reformasi yang menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim itu mencadangkan tujuh lagi jawatan menteri yang bakal diisi, diberikan kepada ahli Parlimen PKR dan DAP.
Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail harus menolak jawatan menteri wanita dan pembangunan keluarga dan berikan kepada pemimpin PKR lain agar beliau boleh menjalankan tugas sebagai timbalan perdana menteri.
Malah Sanjay juga mendesak kerajaan Pakatan Harapan mencadangkan 44 senator yang dilantik kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu dipecat, sementara anggota Dewan Negara seramai 70 orang diisi dengan 60 lantikan Pakatan Harapan, empat daripada PAS menakala enam daripada BN.
Selain itu, Timbalan Ketua Otai Reformasi Pulau Pinang itu juga mahu Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow mewujudkan dua lagi jawatan exco untuk diisi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR. -Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.