Peminta sedekah berleluasa di bulan Ramadan

Kehadiran golongan pengemis terutamanya pengemis asing dalam kalangan kanak-kanak dan orang tua di sekitar pasar malam dan sebagainya semakin berleluasa sehingga menimbulkan rasa tidak selesa orang ramai.
Bulan Ramadan ini merancakkan lagi bilangan pengemis di bazaar Ramadan kerana meraka akan mendapat hasil yang lumayan kerana umat Islam lebih bersikap suka bersedekah sepanjang bulan ini.
Antara taktik yang dilakukan pengemis untuk menarik simpati orang ramai adalah dengan tampil dengan kaki atau tangan kudung, warga emas dan ibu-ibu sambil mengendong bayi yang masih kecil untuk menghulurkan sedekah kepada mereka.
Bagaimanapun, adakah pengemis ini didalangi sindiket atau usaha sendiri kerana terdapat sebilangan besar individu yang mengemis ini mendapat hasil yang lumayan hanya dari meminta sedekah.
Seorang jemaah Masjid Muhammadi, Hanipah Mohamed, 47, berkata, setiap kali menjelang bulan Ramadan akan terdapat sekumpulan pengemis asing mula berkumpul di sekitar masjid untuk meminta sedekah kepada orang ramai.
Jelasnya, kumpulan pengemis asing itu kebanyakkan dari wilayah selatan negara jiran dan akan datang mengemis sambil membawa anak kecil untuk menarik simpati orang ramai.
“Apa yang saya tahu mereka ini didalangi sindiket untuk masuk ke sini dan menyewa rumah berdekatan dalam jumlah ramai,” katanya.
Seorang pekerja swasta, Abdul Aziz Ibrahim, 45, berkata, kebanyakkan pengemis ini adalah terdiri daripada orang Islam tetapi terdapat juga pengemis yang sanggup menipu dengan menyamar sebagai Muslim.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Kelantan, Said Sidup menjelaskan, pihaknya sudah sedia maklum dengan sindiket mengemis setiap kali bulan Ramadan dan akan menjalankan operasi untuk membanteras gejala terbabit.
“Dengan kerjasama beberapa jabatan lain seperti Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara dan polis kita akan menjalankan operasi dalam masa terdekat bagi menangani aktiviti pengemis ini,” katanya. -utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.