Risiko gemuk jika tidur siang ketika berpuasa

Berpuasa di bulan Ramadan adalah salah satu rukun Islam yang wajib ditunaikan oleh setiap umat Islam. Terkini, umat Islam seluruh dunia telah menyambut bulan Ramadan dan bagi golongan yang beriman bulan Ramadan adalah bulan yang dinanti-nantikan kerana mempunyai banyak keistimewaan.
Bagaimanapun, sepanjang bulan Ramadan ini terdapat antara umat Islam yang suka mengambil kesempatan untuk tidur pada waktu siang kononnya dapat mengurangkan rasa lapar dan dahaga.
Tetapi, masih ramai yang tidak tahu bahawa mengamalkan tidur siang yang berpanjangan memberi kesan tidak baik pada kesihatan tubuh badan terutamanya melibatkan risiko pertambahan berat badan.
Pegawai Perubatan Jabatan Kecemasan Hospital KPJ Tawakkal, Dr Johan Nizam Bahari, menjelaskan semasa berpuasa proses pembakaran lemak dan tenaga akan menurun kerana tubuh cuba menyesuaikan diri dengan keadaan kurang makan.
“Sekiranya kita banyak tidur terutama siang, kadar pembakaran akan terus menurun menyebabkan lebihan tenaga disimpan seterusnya menjadikan berat badan meningkat.
“Pada awal berpuasa, memang kita rasa berat badan menurun tetapi sebaliknya akan berlaku apabila terlalu banyak tidur,” katanya.
Manakala, untuk kesihatan tubuh pula apabila badan memasuki fasa hibernasi kebanyakkan fungsi tubuh akan menurun termasuklah degupan jantung lebih perlahan, nadi dan tekanan darah lebih rendah.
Apabila seseorang itu tidur siang dalam tempoh yang lama melebihi tiga hingga empat jam, ia akan menyebabkan tubuh memasuki fasa darurat sehingga boleh menyebabkan otot hancur dan mengecut kerana ia telah menyimpan banyak lemak untuk bertahan.
Selain itu, Dr Johan Nizam berkata antara kesan serius kepada tubuh badan disebabkan banyak tidur adalah badan kurang upaya untuk mencernakan gula yang dikenali sebagai sindrom metabolik.
“Sindrom ini menyebabkan lemak meningkat dan berisiko mengalami pra diabetik, iaitu amaran kepada penyakit diabetes atau kencing manis.
“Ia berlaku apabila tahap gula dalam darah tinggi daripada biasa tetapi belum cukup untuk di ambil kira sebagai diabetes,” katanya.
Oleh itu, beliau menasihatkan seseorang itu untuk melakukan aktiviti riadah mengikut keupayaan diri masing-masing sepanjang bulan Ramadan ini untuk mengekalkan kadar metabolisma tubuh seperti mengemas rumah.
Seseorang itu juga boleh mendapatkan tidur yang cukup jika tidur awal antara jam 9 hingga 10 malam atau selepas terawih. Namun, jika tidak dapat tidur yang cukup pada waktu malam, boleh untuk tidur siang tapi jangan terlalu lama.
“Tidur yang lena dalam tempoh sekurang-kurangnya satu jam pada waktu petang kerana tidak cukup tidur di sebelah malam, sudah mencukupi untuk merehatkan badan.
“Semuanya terpulang pada diri sendiri tetapi apa yang penting tidak keterlaluan sehingga tidur seharian,” katanya. -utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.