Usul pemansuhan agama dalam kad pengenalan adalah ancaman kepada Islam

Ahli Parlimen Miri dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Michael Teo Yu Keng yang mencadangkan agar memansuhkan status agama pada kad pengenalan, ditempelak dan disifatkan sebagai biadap.

Ketua Sekretariat Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Aminuddin Yahaya berkata, kenyataan wakil rakyat PKR itu dianggap memberi ancaman kepada agama Islam.

Kata beliau, cadangan ini juga dilihat sebagai satu cabaran untuk Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, barisan Kabinet dan Anggota Parlimen lain, selain cabaran kepada seluruh umat Islam di Malaysia, bagi melihat sejauh mana mereka sensitif menolak usul tersebut.

“Inilah bahana politik tanpa asas agama, tetapi sekadar meraih undi.

“Ini juga merupakan kesinambungan Gerakan Pluralisme Agama (IFC) yang antaranya menuntut penghapusan agama pada kad pengenalan.

“Kenyataan YB Dr Michael Teo Yu Keng dianggap kurang ajar dan memberi ancaman kepada agama Islam,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ahli Parlimen Miri itu yang dimuatnaik menerusi di laman Facebooknya baru-baru ini, berkaitan cadangan bagi mengusulkan pemansuhan status agama dalam kad pengenalan.

Michael Teo berkata, beliau berhasrat untuk mengetengahkan satu usul agar diluluskan di Parlimen, di mana agama dan bangsa tidak lagi dinyatakan dalam kad pengenalan.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, cadangan Michael Teo itu juga membuktikan bahawa kemenangan kerajaan Pakatan Harapan dalam pilihan raya umum pada 9 Mei lalu merupakan kejayaan untuk puak liberal yang giat cuba menggugat agama umat Islam.

Tambahnya, cadangan seperti itu merupakan usaha-usaha licik untuk menghapuskan rasa izzah umat Islam terhadap agama.

“Masyarakat akan celaru kerana tidak lagi akan kenal mana yg islam mana yg tidak.

“Malah ia akan menggalakkan gejala murtad di kalangan umat Islam di negara ini,” ujar beliau.

Apa pun, sekiranya usul berkenaan dibawa ke Parlimen kelak, semua ahli parlimen beragama Islam tanpa mengira parti patut menolaknya. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.