Ahli UMNO perlu yakin untuk bangkit kembali kukuhkan parti

Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, ahli parti itu perlu yakin untuk bangkit kembali kukuhkan parti berkenaan.

Kata Ahli Parlimen Pontian itu, beliau yakin sekiranya semua pihak dalam UMNO bersatu, parti tersebut tidak akan lama menjadi pembangkang.

“Kita boleh bangkit kembali untuk menjadi satu kuasa baru dikalangan rakyat.

“Saat dan ketika ini kita akan jadi pembangkang yang baik, kita mungkin tidak lama jadi pembangkang sebagaimana di negeri-negeri yang kita pernah kalah tapi kemudian kita menang balik,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pilihan raya umum pada 9 Mei lalu, UMNO dan Barisan Nasional (BN) buat pertama kali kalah di peringkat persekutuan selepas 61 tahun memerintah.

Ahmad Maslan juga berkata, ahli-ahli UMNO perlu memberikan kepercayaan kepada Naib Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menjalankan tugas-tugas Presiden dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang melaksanakan tugas-tugas Timbalan Presiden untuk menerajui parti itu hari ini.

“Kita berikan kepercayaan kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein untuk mereka mentadbir dan mengepalai parti ini.

“Dengan sokongan padu ahli-ahli UMNO maka parti kita yang ibarat ‘kapal’ yang sudah tenggelam boleh diangkat kembali ke permukaan air dan di selamatkan segala isi-isinya.

“Yakinlah, jika kita bersatu, kita akan kuat dan kita akan dapat menghadapi mereka kerana mereka menang tidak banyak, hanya 12 kerusi lebih daripada paras kemenangan,” katanya.

Tambah Ahmad Maslan yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pontian berkata, yang penting adalah untuk terus membela agama, bangsa dan tanah air dengan kekal dalam UMNO.

UMNO merupakan satu parti keramat yang terlalu banyak jasa kepada rakyat negara ini. -Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.