Banyak hikmah menanti orang yang bersahur

Bulan Ramadan adalan bulan yang cukup istimewa kerana memberikan banyak kebaikan kepada umat Islam. Dalam mengerjakan ibadah puasa, sahur adalah amalan sunat yang digalakkan kepada mereka yang berpuasa.

Malah, banyak hikmah atau kebaikan yang diperolehi oleh umat Islam yang bersahur. Tetapi, masih ramai umat Islam menjadikan alasan letih dan mengantuk untuk tidak bangun sahur walaupun telah dianjurkan oleh rasulullah SAW kepada setiap yang berpuasa.

Sepanjang bulan Ramadan ini kita sentiasa berlumba-lumba mengerjakan amal ibadah oleh itu lakukanlah segala amalan yang disukai Allah dan Nabi SAW iaitu bersahur.

Antara hikmah yang diperolehi umat Islam bersahur adalah Allah berikan keberkatan dalam bersahur.

Sabda Nabi s.a.w, “Bersahurlah, sesungguhnya pada sahur itu ada keberkatan”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Mencari keberkatan adalah sesuatu yang amat penting dalam hidup umat Islam. Dengan hanya bersahur sahaja umat Islam sudah memperolehi bekerkatan. Oleh itu, umat Islam digalakkan untuk mencari keberkatan itu dengan bersahur.

Selain itu, dalam hadis dikatakan adalah lebih baik untuk bersahur dengan makan makanan manis seperti tamar atau kurma.

Sabda Nabi SAW, “Sebaik-baik sahurnya mukmin itu adalah dengan tamar.” (riwayat Abu Daud)

Bermakna bukan sahaja kita digalakkan berbuka puasa dengan buah tamar tetapi kita juga digalakkan untuk bersahur dengan tamar. Sepanjang bulan Ramadan ini ambillah sekurang-kurangnya sebiji tamar semasa sahur dan berbuka puasa untuk mendapat pahala tambahan.

Malah, umat Islam juga digalakkan untuk melewatkan sahur dan bersahur terlalu awal itu bukanlah sesuatu yang digalakkan sebaliknya disunnahkan melewatkanya.

Kata Zaid bin Thabit: “Kami bersahur bersama Rasulullah, kemudian terus pergi untuk bersolat (Subuh)”.

Anas bin Malik bertanya beliau: “Berapa lama antara sahur azan dan sahur tersebut?”.

Jawab Zaid: “Kadar 50 ayat (al-Quran)”.

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadis ini menunjukkan bahawa betapa lewatnya Nabi s.a.w. bersahur. Jika 50 ayat dibaca, kadarnya lebih kurang beberapa minit. Di tempoh itulah Nabi s.a.w menghentikan sahur untuk bersiap menuju solat.

Diharap sepanjang bulan Ramadan ini, semua umat Islam tidak melepaskan peluang untuk bersahur dan melewarkan sahur dalam mencari keberkatan Allah. Banyakkan melakukan amal ibadah sepanjang bulan mulia ini. –utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.