Kawalan di sempadan Bukit Kayu Hitam diperketatkan

Hari keempat bulan Ramadan baru-baru ini, di Thailand telah dikejutkan dengan insiden keganasan akibat letupan bom. Kira-kira 20 butir bom yang kebanyakkan menyasarkan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) telah diletupkan di beberapa wilayah selatan Thailand.
Kejadian letupan bom berlaku di wilayah bergolak Pattani, Yala Narathiwat dan Songkla. Dua individu dilaporkan cedera dalam kejadian letupan di daerah Muang.
Di Narathiwat, pihak berkuasa melaporkan lima butir bom meletup di daerah Benang Setar, Kabang dan Yaha, namun tidak mengakibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa.
Justeru itu, pihak berkuasa Malaysia akan memperketatkan pemeriksaan di sempadan Malaysia-Thailand sebagai langkah keselamatan.
Komander Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Bukit Kayu Hitam, Asisten Superintendan Mohd Khairi Abdullah menjelaskan, anggota bertugas akan melakukan pemeriksaan rapi ke atas kenderaan yang masuk dari negara terbabit.
Menurutnya, pemeriksaan rapi dilakukan kepada setiap kenderaan yang masuk ke negara adalah untuk mengelakkan bahan letupan atau penyeludupan haram dari negara jiran.
“Ekoran daripada letupan bom ini kita telah mengarahkan anggota yang bertugas sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga dan membuat pemerhatian serta pemeriksaan yang lebih kepada kenderaan-kenderaan mencurigakan termasuk di bulan ramadan.
“Pemeriksaan rapi itu juga akan mengekang usaha mahupun tindakan menyeludup barangan terlarang seperti mercun dan beras pulut,” katanya. –utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.