Kerajaan baru jangan tunduk pada desakan gaya Islam Liberal

Fahaman Islam liberal dilihat sudah semakin menular di negara yang mempunyai masyarakat majmuk seperti Malaysia. Ciri golongan fahaman Islam liberal adalah mereka yang bertindak menggunakan akal rasional dan meninggalkan al-Quran dan sunnah sebagai panduan dalam kehidupan.
Berkaitan dengan itu, Presiden Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran Kebangsaan (PINTA) Mohd Zahid Mahmood berharap kerajaan baharu pimpinan Pakatan Harapan (PH) tidak terlalu tunduk dengan desakan gaya Islam liberal di negara ini.
Beliau berkata, pemimpin Islam negara ini harus bekerjasama membanteras ancaman serta musuh yang cuba mengubah negara Malaysia yang majoriti penduduk Islam seperti negara Barat.
Katanya, tidak dapat dinafikan wujud ‘suara’ berkaitan gaya Islam liberal wujud di negara ini, bagaimanapun ia dibimbangi akan semakin menular sehingga memberi kesan negatif kepada negara.
“Suara yang cenderung kepada liberalisme dan tidak mendokong agama sebelum ini memang sering kedengaran, tetapi kita khuatir ia semakin meruncing.
“Kita memang menolak gerakan seperti ini. Justeru diharapkan pemimpin Islam seluruh negara bersatu untuk meletakkan Islam di tempat yang sewajarnya,” katanya.
Sebelum ini, terdapat ‘suara’ memberi cadangan agar Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dihapuskanya kononnya untuk kesejahteraan negara. Malah, ‘suara’ itu turut meminta agar operasi membendung kesalahan khalwat dalam kalangan umat Islam dihentikan.
Mohd Zahid memaklumkan turut mendoakan supaya pemimpin Islam terlindung dari anasir jahat yang ingin melagakan umat Islam agar berpecah belah.
“Kita doa, insya-Allah pemimpin Islam dilindungi daripada fitnah didalangi anasir yang ingin melagakan umat Islam supaya terus berpecah dan lemah,” katanya. -utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.