Kerajaan Pakatan guna ‘lampu ajaib’ pulihkan negara dari bankrap?

Sebelum menang dan ketika bergelar pembangkang, Pakatan Harapan sering mendakwa kononnya negara ini berada diambang muflis. Namun selepas pakatan itu berjaya mengambil alih Kerajaan Persekutuan, nada berkenaan berubah sama sekali.

Tidak menghairankanlah bila bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyindir kerajaan Pakatan Harapan yang secara tiba-tiba mendakwa ekonomi negara kukuh kerana nilai rizab Bank Negara sekarang adalah RM430 bilion.

”Soalnya dalam tiga hari saja (selepas Pakatan Harapan membentuk kerajaan) negara hampir bangkrap boleh jadi kukuh.

“Mereka ada lampu ajaib ke? Lampu Aladin ke? gosok dalam tiga hari. Tak payah selamatkan negara lagi,” sindirnya.

Kenyataan berkenaan dikeluarkan bekas Presiden UMNO itu kerana Pakatan Harapan selama ini sering mendakwa kononnya negara ini berada diambang bankrap ketika di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN).

Kata Najib yang juga bekas Pengerusi BN, ini membuktikan dakwaan yang dilemparkan oleh Pakatan Harapan selama ini adalah tidak benar.

”(Penipuan) ini yang buat saya rasa terkilan, bukan kekalahan. Tapi atas penyelewengan fakta sebenar.

“(Pembohongan ini) tak adil. Ini berita palsu,” ujar beliau.

Selain itu, janji-janji Pakatan Harapan untuk memansuhkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), menurunkan harga barangan, menangguhkan bayaran peminjam Perbadangan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), juga sekadar janji semata-mata.

”Bila sudah berkuasa, berapa harga minyak? Kita tunggu bila harga minyak nak turun. Saya tahu sebab saya bekas Menteri Kewangan,” kata bekas Pengerusi BN itu.

Tambah beliau, bagi menurunkan harga minyak kepada RM1.50 seliter, kerajaan perlu membelanjakan sekitar RM1.5 bilion dalam bentuk subsidi.

“Kenapa tak cakap perkara itu. Kenapa janji, bagi harapan palsu. Kita (BN) tak janji palsu. Kita janji apa yang kita mampu laksanakan.

“Mungkin saya silap, tidak ambil pendekatan matlamat menghalakan cara. Bila dapat kuasa, (janji) itu belakang kira,” kata Najib merujuk kepada cara politik janji bulan dan bintang oleh Pakatan Harapan.

Apa pun, bekas perdana menteri keenam itu, menerima kekalahan BN dalam pilihan raya umum 9 Mei lepas sebagai menjunjung prinsip demokrasi negara. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.