Masa depan sosioekonomi Melayu, Islam dan Bumiputera kini terancam

Status dan masa depan sosioekonomi Melayu, Islam dan Bumiputera kini berada dalam terancam, kata Pemangku Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), Datuk Ruhanie Ahmad.

Ini kerana, kata beliau, Pakatan Harapan sudah menggambarkan mahu mewujudkan kesamarataan tentang status Islam, Bahasa Melayu dan sosioekonomi Bumiputera.

Beliau berkata, dalam kata lain, orang Islam, Melayu dan Bumiputera di negara ini mungkin menjadi sasaran reformasi struktur, institusi dan perlembagaan bagi membolehkan Pakatan Harapan mencapai misi kesamarataan di atas.

“Ini kerana faktor utama yang menggembelengkan komponen Pakatan Harapan pada hari ini, hanya soal integriti, ketelusan, tadbir urus dan anti-rasuah.

“Bukannya tata cara perlembagaan mengenai bangsa teras, jati diri dan kesamarataan dalam konteks Malaysia yang majmuk, serta kelangsungan dan keselamatan nasional,” katanya.

Ruhanie berkata, Ketua Umum PKR dan Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan juga ada menyatakan hasrat beliau akan menghapuskan segala dasar affirmatif atau dasar berasaskan bangsa.

“Menurut Anwar, pemansuhan dasar affirmatif ini untuk membolehkan pembentukan program sosioekonomi yang baru bagi membantu masyarakat miskin di Malaysia, tanpa mengira kaum.

“Dalam konteks kenyataan Anwar, warga besar Perkasa perlu insaf, bahawa jurang sosioekonomi antara Bumiputera dan bukan Bumiputera di Malaysia pada hari ini kian melebar.

“Jadi, adakah pemansuhan dasar affirmatif sosioekonomi, dan digantikan dengan dasar baru yang merentasi kaum, mampu mengatasi jurang perbezaan sosioekonomi Bumiputera-bukan Bumiputera yang wujud sekarang?,” soalnya.

Pemangku Presiden Perkasa itu juga turut mempersoalkan sama kerajaan Pakatan Harapan mampu mentadbir negara ini berasaskan konsep bangsa teras, jati diri nasional dan kesamarataan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. -Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.