Peniaga Islam dilarang jual makanan sebelum pukul 2 petang

Sepanjang bulan Ramadan ini peniaga Islam digesa agar mematuhi peraturan untuk tidak menjual makanan siap dimasak sebelum jam 2 petang kata Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs).

Mana-mana umat Islam yang didapati tidak mematuhi peraturan terbabit boleh dikenakan tindakan undang-undang.

“Peniaga Islam yang melanggar peraturan jualan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 25 (1) (a) Enakmen Jenayah Dalam Syarak Negeri Perlis 1991 (Pindaan 2012),” menurut kenyataan itu.

Peniaga yang didapati bersalah boleh dikenakan denda maksimum RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.

Manakala, bagi kesalahan kedua serta berikutnya denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Sementara itu, umat Islam negeri ini juga dilarang untuk makan dan minum atau menghisap tembakau di tempat awam secara terbuka sebelum tiba waktu berbuka puasa.

Mereka yang melakukan kesalahan demikian boleh dihukum denda maksimum RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama, sementara kesalahan kedua dan berikutnya boleh didenda maksimum RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, di Kedah semua kedai makan dan restoran Islam di negeri terbabit tidak dibenarkan beroperasi sebelum jam 3 petang sepanjang bulan Ramadan sebagai menghormati bulan Ramadan. -utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.