Syarikat Teksi mahu kerajaan PH sekat operasi GRAB

Sejak perkhidmatan e-hailing seperti Grab Malaysia diperkenalkan di negara ini, memang tidak dapat dinafikan pendapatan pemandu teksi negara ini agak merosot apabila perkhidmatan terbabit lebih mendapat sambutan orang awam.

Sehubungan itu, syarikat pengendali teksi, Big Blue Taxi Service Sdn Bhd berharap kerajaan baharu pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dapat menyekat Grab Malaysia dari terus beroperasi.

Penasihatnya, Datuk Shamsubaharin Ismail, menjelaskan kerajaan baharu tidak perlu untuk bekerjasama dengan perkhidmatan e-hailing terbabit kerana terdapat antara pemandu teksi yang berkhidmat dengannya telah dianiaya.

Beliau berkata, syarikat perkhidmatan e-hailing terbabit sebelum ini terlibat dengan aplikasi MyTeksi dan menganiaya pemandu teksi untuk kepentingan mereka sendiri.

“Suatu ketika dulu pemandu teksi menyokong penuh usaha MyTeksi namun selepas ia berjaya ke tahap tinggi, syarikat itu memperkenalkan pula perkhidmatan kenderaan membawa penumpang tanpa lesen.

“Tindakan itu menutup periuk nasi pengusaha dan pemandu teksi, apatah lagi ia beroperasi tanpa kawalan.

“Industri teksi juga meniti arus kemodenan dan bersetuju untuk menggunakan teknologi bagi perkhidmatan ini. Bagaimanapun banyak perkara yang perlu dikaji semula termasuk pengurusan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD),” katanya.

Shamsubaharin berharap cadangan berhubung isu industri teksi, e-panggilan serta undang-undang pengangkutan darat dapat dikaji semula.

“Saya cadangkan, pihak bertanggungjawab ke atas isu ini untuk mengadakan rundingan bersama supaya perkara ini boleh dikaji semula.

“Kami setuju e-panggilan dikawal oleh SPAD atau pemain industri tempatan, namun syaratnya semua kenderaan harus mengikut undang-undang standard teksi,” katanya. –utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.