UMNO tak perlu ambil masa yang lama untuk bersedih

UMNO tidak perlu mengambil masa yang lama untuk bersedih atas kekalahan dan gagal membentuk kerajaan dalam pilihan raya umum 9 Mei lalu, sebaliknya perlu bangkit meneruskan perjuangan, kata bekas Presiden UMNO,  Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, perjuangan harus diteruskan walaupun dalam keadaan sulit dan tekanan sekali pun.

“Allah SWT tidak suka kita dalam tangisan. Allah sentiasa menguji kita sebab itu kita perlu reda dengan ujian. Kita tidak boleh sentiasa terbawa-bawa dengan kehibaan hati.

“Yakinlah, perjuangan suci ini wajib kita teruskan walau dalam keadaan getir dan tekanan.

“Ingat perjuangan kita adalah perjuangan suci dan mulia yang mana lambat laun rakyat akan sedar dan anak muda akan sedar perjuangan kita perjuangan sebenar atas nama bangsa dan negara,” katanya.

Dalam pada itu, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata, yang tidak setia dengan UMNO biarlah mereka keluar, beliau mahu ahli yang berada di dalam parti itu adalah pejuang sejati yang hargai dan sayangkan parti berkenaan.

“Kalau kita toreh badan kita, darahnya adalah darah biru dan merah. Darah kita darah pejuang UMNO.

“Kita pernah susah dahulu, kita bangun atas dasar perjua­ngan. Kalau hendak bangunkan UMNO, kita perlu terus berkorban untuk parti,” ujar bekas Pengerusi Barisan Nasional itu.

Tambah Najib, beliau akan membantu bangunkan UMNO dan meneruskan khidmat baktinya sebagai pemimpin di Pekan.

“Saya pemimpin yang mewakili UMNO dan saya tetap berjuang atas nama UMNO,” katanya.

Beliau juga berkata, meskipun kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu, UMNO akan sentiasa berpegang kepada prinsipnya dan parti yang bermaruah.

“Kita bukan keturunan orang yang menipu rakyat dan saya bukan orang yang mencuri harta rakyat,” tegas Najib. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.