Hapus GST akan tingkatkan kebergantungan negara terhadap sumber minyak

Baru-baru ini, kerajaan baharu pimpinan Pakatan Harapan (PH) telah mengumumkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebanyak enam peratus akan dijadikan pada kadar sifat berkuat kuasa 1 Jun ini.

Bagaimanapun, Moody’s Investors Service memaklumkan langkah penghapusan GST itu sebaliknya akan meningkatkan kebergantungan negara terhadap sumber minyak.

Malah, penghapusan sumber pendapatan kerajaan itu juga akan mengurangkan asas cukai dan seterusnya menyebabkan kedudukan fiskal negara berada pada tahap lemah.

Presiden dan Penganalisis Kanan, Moody’s, Anushka Shah menjelaskan, pihaknya meramalkan penghapusan GST akan memberi kesan negatif kepada negara sekitar 1.9 peratus daripada KDNK tahun ini.

“Dengan mengambil kira kestabilan faktor-faktor lain yang menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan mengambil kira unsur-unsur bermusim, kami menjangkakan kehilangan pendapatan kerajaan selepas menghapuskan GST adalah sekitar 1.9 peratus daripada KDNK tahun ini,” katanya.

Jelasnya, jika kerajaan mengembalikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST), kerugian pendapatan kerajaan akan dikecilkan kepada satu peratus berbanding KDNK tahun ini.

Anushka berkata, sumber pendapatan kerajaan iaitu GST memang boleh digantikan dengan sumber minyak memandangkan minyak pada ketika ini di paras tinggi bagaimanapun beliau berpendapat kerajaan harus mengetahui bahawa harga minyak dunia sentiasa berubah-ubah.

“Disebabkan itu (harga minyak yang sentiasa berubah) menyebabkan Malaysia memperkenalkan GST bagi mengurangkan pergantungan kepada pendapatan berasaskan minyak dan ia terbukti berjaya.

“Menurut kerajaan, rasional di sebalik penghapusan GST adalah untuk merangsang penggunaan swasta dan pertumbuhan ekonomi dengan menokok kepada kantung cukai menerusi penambahbaikan dalam cukai-cukai seperti korporat, kenderaan serta duti eksais dan import.

“Kami tidak memasukkan kesan-kesan tersebut (yang dinyatakan kerajaan) kerana kami tidak melihat sebarang kesan berganda yang bakal berlaku,” tegasnya. –utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.