Pengundi luar bandar dan undi melayu bukan lagi ‘safe deposit’ UMNO/BN

UMNO perlu mendapatkan undi penduduk bandar dan kaum lain, sekiranya ingin kembali memerintah negara, kata EXCO Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan.

Beliau berkata, UMNO dan Barisan Nasional (BN) jangan hanya bergantung kepada undi kaum Melayu dan pengundi luar bandar.

Ini kerana, kata bekas calon BN di Parlimen Kuala Langat dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), pengundi luar bandar dan undi Melayu bukan lagi ‘safe deposit’ UMNO dan BN.

“Jumlah pengundi menetap di luar bandar yang semakin mengecil turut menjejaskan peluang BN untuk menewas Pakatan Harapan pada masa akan datang,” kata beliau semasa sesi bicara Pasca PRU-14 di Persada Canselori, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Shahril Sufian berkata, semakin ramai golongan muda berhijrah ke bandar dan akan pulang ke kampung setiap kali pilihan raya seperti terjadi pada PRU-14, 9 Mei lalu.

EXCO Pemuda UMNO berkata, melihat keputusan PRU-14, jelas undi golongan tersebut memilih Pakatan Harapan kerana tertarik dengan pelbagai isu seperti Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), pemansuhan tol, pendidikan percuma dan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Satu lagi yang perlu diperbetulkan adalah keluar dari zon selesa dengan memahami mereka (UMNO/BN) kini berada di blok pembangkang,”ujar beliau.

Tambahnya, UMNO juga jangan terlalu bergantung kepada memperjuangkan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan bagi meraih undi.

Beliau berkata, Perkara 153 memang bagi menjaga kedudukan dan keistimewaan orang Melayu, tetapi ia turut diperjuangkan oleh Pakatan Harapan.

“Pada PRU-15, BN perlu mendapatkan undi kaum lain dan pastikan mereka tidak menolak kita kerana mengugut menggunakan undang-undang berkenaan.

“Ia perlu dipertahankan tapi bukan untuk mengugut kaum lain.” –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.