PTPTN tidak dimansuhkan, tetapi hanya diberi penangguhan bayaran

Sebelum ini, antara manifesto Pakatan Harapan (PH) untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) adalah pelajar hanya perlu membayar balik wang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) apabila pendapatan mereka mencecah RM4,000 sebulan.

Setelah peralihan kerajaan di bawah pimpinan PH, masyarakat Malaysia menuntut janji-janji yang dinyatakan seperti manifesto PH semasa PRU14 terbabit.

Sehubungan itu, Kementerian Pendidikan telah melaksanakan janji mereka dengan membuat penangguhan pembayaran wang pinjaman PTPTN untuk graduan yang berpendapatan bawah RM4,000.

Menterinya, Dr Maszlee Malik, berkata manifesto PRU14 PH tidak menawarkan pemansuhan PTPTN sebaliknya hanya akan memberi pelepasan pembayaran untuk mereka yang berpendapatan bawah RM4,000.

“Kita juga akan berbincang dengan Jabatan Imigresen mengenai sekatan perjalanan bagi peminjam yang disenarai hitamkan ke luar negara, ” katanya.

Jelasnya, apabila gaji peminjam PTPTN sudah mencecah RM4,000 adalah lebih bagus jika mereka membayar untuk mewujudkan sikap tanggungjawab.

Maszlee berkata, sekiranya peminjam PTPTN bergaji bawah RM4,000 mahu membayar juga adalah dialu-alukan kerana itu adalah sikap yang harus ada dalam diri.

“Tidak perlu bukan tak payah, kalau mereka nak bayar lagi bagus (gaji lebih RM4,000).  Kita ingin wujudkan dalam kalangan warga Malaysia sikap bertanggungjawab.

“Bila gaji mereka sampai RM4,000 atau tak sampai mereka nak bayar pun dialu-alukan. Itulah sikap yang sepatutnya ada,” katanya. -utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.