Wanita UMNO mahu parti ambil serius suara dan kehendak rakyat

Tindakan mempertandingkan semua jawatan dalam UMNO boleh membawa pembaharuan dan perubahan yang diperlukan oleh parti di ketika yang terlalu mencabar, kata Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Beliau berkata, malah ia turut memberi ruang kepada anggota UMNO untuk memilih pemimpin yang mereka rasakan layak.

“Wanita UMNO yakin keputusan untuk membuka semua jawatan dipertandingkan adalah satu langkah pertama yang signifikan bagi merejuvenasikan UMNO sebagai parti yang menjadi sandaran kepercayaan rakyat,” kata Shahrizat.

Dalam pada itu, Ketua Pergerakan Wanita UMNO itu mahu parti mengambil serius suara dan kehendak rakyat.

Shahrizat berkata, Wanita UMNO menerima dan mengambil iktibar di atas kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam Piliahan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), 9 Mei lalu.

“Suara rakyat mesti diambil secara serius oleh UMNO.

“UMNO mesti memulakan fasa pemulihan dalam parti untuk kembali berkhidmat kepada rakyat dan mendapat kepercayaan mereka.

“Sebab itulah keputusan untuk mempertandingkan semua jawatan dalam parti adalah sangat tepat,” ujar beliau.

Semalam, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menjalankan tugas-tugas Presiden memaklumkan semua jawatan dalam UMNO terbuka dan bebas untuk dipertandingkan termasuk jawatan Presiden, Timbalan Presiden, Naib-naib Presiden serta ketua-ketua bagi kepimpinan sayap parti.

Kata bekas Timbalan Perdana Menteri itu,tidak timbul soal bahawa tidak ada pertandingan bagi jawatan-jawatan tertentu dalam UMNO.

Beliau juga berkata, mana-mana pemimpin dan ahli yang berhasrat menawarkan diri untuk bertanding, mereka diberi peluang mendaftarkan diri secara dalam talian bermula 1 hingga 17 Jun ini. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.