120 pengendali makanan di bazar Ramadan diarah tutup

Kementerian Kesihatan Jerantut giat melakukan pemeriksaan di bazar Ramadan untuk memastikan makanan yang dijual kepada pengguna tidak mendatangkan mudarat dan pengendali makanan perlu menitik beratkan tahap kebersihan premis mereka.

Pemeriksaan dilakukan kementerian telah menyebabkan sebanyak 120 pengendali makanan di bazar Ramadan negeri terbabit diarahkan tutup kerana didapati tidak berada pada tahap kebersihan yang ditetapkan.

Mengulas lanjut, Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Sha’ari Ngadiman, berkata terdapat 1,308 pengendali makanan juga telah dikenakan kompaun oleh pihaknya kerana tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan.

“Kita menjalankan pemeriksaan di 12,754 premis makanan seluruh negeri ini sepanjang tahun lepas dan 1,308 kompaun dikeluarkan kepada peniaga terlibat,” katanya.

Menurut Sha’ari, pihaknya giat menjalankan pemeriksaan di bazar Ramadan supaya dapat memastikan setiap pengendali makanan menjual makanan yang tidak tercemar kepada orang ramai.

“Kita mempunyai 85 lokaliti bazar Ramadan pada tahun ini. Pegawai dan kakitangan Jabatan Kesihatan sentiasa membuat pemantauan, namun belum ada pe­niaga dikenakan apa-apa tindakan setakat ini,” katanya.

Jelasnya, sebagai pengendali makanan perkara yang perlu dititikberatkan adalah kualiti dan kebersihan makanan bukan hanya mengejar untung semata-mata.

“Bazar Ramadan MDJ ini boleh dijadikan contoh kerana kawasannya bersih dan susun atur makanan dijual juga memudahkan orang ramai membeli juadah untuk berbuka puasa,” katanya.

Tahun lalu, terdapat aduan dari pengguna mendakwa sakit perut, cirit birit, dan muntah kerana makanan yang dibeli di bazar Ramadan mengandungi bendasing seperti ulat dan serangga. – utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.