Jangan keterlaluan fitnah dan maki TG Hadi Awang

Kalau dulu apa yang berlaku semua kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekarang pula semua kerana Datuk Seri Abdul Hadi Awang, kata Naib Presiden PAS, Idris Ahmad.

Bekas Anggota Parlimen Bukit Gantang itu berkata, apabila dendam kesumat yang bersarang di hati maka akan zahir menerusi mulut dan perbuatan.

“Kenapa marah sangat dengan TG Haji Hadi? Adakah dia bolot harta ketika menjadi MB (Menteri Besar) Terengganu.

“Adakah dia memiliki rumah banglo mewah? Adakah dia kaki perempuan? Adakah dia kaki judi? Adakah dia kaki kelab malam? Adakah dia melakukan rasuah?

“Marah kepada dia kerana dia mempertahankan prinsip Islam. Marah kerana ijtihad politik beliau berbeza dengan kamu.

“Marah kerana beliau tidak mahu bertolak ansur perkara prinsip. Marah kerana dia tidak boleh diheret untuk kemahuan kamu,” kata beliau yang dipetik menerusi Harakahdaily.

Beliau berkata, kadang-kadang yang memaki Presiden PAS itu di dalam media sosial, jika dibuka profile Facebook mereka, mereka ini ada masalah peribadi dan keluarga pun tidak menutup aurat tetapi tulis macam waliyullah.

“Saya tidak kisah, kalau pemfitnah itu seorang bukan Islam yang pendendam, tetapi amat sedih kalau pemfitnah itu orang Islam.

“Ya, TG Haji Hadi bukan maksum, dia manusia. Boleh kritik kelemahan dia, tetapi bukan fitnah dan reka cerita yang bukan-bukan.

“Hormatlah beliau sebagai orang tua dan orang berilmu.

“Cermin diri dahulu. Berapa kitab yang kita karang. Berapa kali sudah khatam tafsir. Berapa hadis yang dihafaz. Tepuk dada tanya iman,” tambah beliau. – Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.