Kerajaan digesa gubal akta pelaburan mata wang digital elak lebih ramai tertipu

Isu pelaburan mata wang digital seperti bitcoin sering menjadi perhatian masyarakat Malaysia. Hampir berpuluh ribu mangsa di seluruh negara telah mengalami kerugian besar akibat ditipu pelaburan terbabit.

Terbaru, kes melibatkan pelaburan mata wang asing dan mata wang digital oleh seorang yang bergelar Datuk melibatkan 23 laporan polis dengan kerugian berjumlah RM13.9 juta.

Sehubungan itu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berharap kerajaan dapat menggubal akta atau undang-undang baru berkaitan pelaburan mata wang digital agar dapat melindungi orang ramai dari menjadi mangsa tipu sehingga kerugian besar.

Mengulas lanjut, Pengerusi Biro Undang-Undangnya, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, sekiranya kerajaan menggubal akta terbabit pihak Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) dapat mengambil tindakan ke atas pihak yang membuat penawaran pelaburan.

“Mungkin juga akta sedia ada boleh dipinda dan dipertingkatkan supaya tidak ada kekosongan dari sudut perundangan untuk mereka melakukan penipuan.

“Kerana itu kita perlu lebih terkedepan daripada pihak yang menjalankan sindiket penipuan mata wang digital,” katanya.

Jelas Hishamuddin, kerajaan perlu segera mengeluarkan garis panduan ini kerana kebanyakkan mangsa terlibat kes penipuan ini turut memberi kesan sosial seperti ugutan samseng, kerugian pelabur dan keruntuhan institusi rumahtangga.

Katanya, walaupun pihak kerajaan mendakwa pihak penipuan pelaburan mata wang digital ini tidak dapat dikawal selia kerana tiada bukti, tetapi mereka boleh diambil tindakan kerana berlaku penawaran.

“Saya setuju tiada pembayaran kerana memakai mata wang krypto tetapi ada penawaran seperti iklan dan penawaran awam.

“Jadi, agensi pengawal selia perlu fikirkan satu tindakan berkaitan kaedah penawaran awam yang dibuat.

“Tindakan perlu dikenakan terhadap modal dan urus niaga yang tidak mematuhi SC,” katanya. – utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.