Kerajaan Pakatan digesa jangan amal politik dendam

Kerajaan Pakatan Harapan yang berjaya mengambil alih pentadbiran negara selepas pilihan raya umum 9 mei lalu digesa supaya jangan mengamalkan politik dendam.

Pemantau Kerajaan Malaysia Baharu, Datuk Lokman Noor Adam berkata, cukup-cukuplah dengan politik dendam yang diamalkan oleh Tun Mahathir Mohamad.

“Cukup-cukuplah dengan politik dendam yang diamalkan oleh Tun Mahathir kerana tidak semua rakyat boleh menerima cerita dongeng Datuk Seri Shukri Abdull.

“Malah kenyataan beliau membuktikan ada subjudis dan telah menimbulkan prejudis terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak,” kata beliau.

Beliau berkata demikian selepas membuat laporan polis terhadap Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baru dilantik itu, semalam.

Lokman Noor berkata, sekiranya apa yang Shukri katakan adalah benar, ini jelas membuktikan bahawa perlantikan beliau menjadi sebagai Ketua Pengarah SPRM mempunyai tujuan khusus.

Kata beliau, ianya untuk membalas dendam dan memastikan bekas perdana menteri keenam, Datuk Seri Najib Tun Razak dipenjarakan.

“Ini jelas menunjukkan bahawa ‘Rule of Law’ hanya untuk mereka yang menentang Pakatan Harapan sahaja dan bukan pemimpin regim Mahathir DAP,” ujar beliau.

Lokman Noor membuat laporan polis ke atas Shukri berkaitan satu sidang media di Ibu Pejabat SPRM baru-baru ini yang membuat pengakuan telah ditawarkan rasuah oleh seorang ahli parlimen untuk menutup kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Mengulas lanjut, beliau berkata, Shukri sepatutnya membuat laporan ke pihak berkuasa selepas ada individu yang cuba menyogok dirinya untuk menutup kes 1MDB.

Lokman Noor berkata, perkara itu dijelaskan selepas Shukri mendakwa pernah ditawarkan rasuah oleh seorang ahli parlimen untuk menghentikan siasatan terhadap 1MDB itu.

“Berdasarkan kenyataan beliau ini, ianya membuktikan bahawa Datuk Seri Shukri telah gagal melaporkan cubaan merasuah dirinya,” katanya.

Tambah beliau, kegagalan Shukri melaporkan perkara ini adalah satu kesalahan dibawah Seksyen 25 (1) dan (2) Akta SPRM 2009 dan jika disabitkan bersalah, boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau dipenjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

“Saya membuat laporan polis hari ini (semalam) kerana kejadian berlaku semasa Datuk Seri Shukri Abdull masih merupakan penjawat awam,” ujarnya.

Kata beliau, tidak ada timbul istilah takut kerana terdapat akta perlindungan saksi dan beliau boleh memohon diletakkan dibawah skim perlindungan saksi. -Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.