Pembubaran agensi kerajaan adalah untuk kurangkan kos pentadbiran

Kerajan pimpinan Pakatan Harapan (HP) telah mengumumkan membubarkan beberapa agensi kerajaan. Pembubaran itu dilakukan adalah sebagai mahu mengurangkan kos pentadbiran dan menghentikan pegawai kontrak lantikan politik.

Antara agensi kerajaan yang telah dibubarkan adalah Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Majlis Profesor Negara (MPN) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) di seluruh negara.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata pegawai kontrak yang dilantik secara anugerah politik tidak diperlukan dan itu adalah sebahagian usaha kerajaan untuk mengurangkan kos pentadbiran.

“Kita tumpukan kepada pegawai dan kakitangan yang dilantik secara anugerah politik, bukan kita perlukan mereka sangat tetapi ada kes-kes yang kerajaan (dahulu) belanja wang semata-mata untuk beri peluang kepada penyokong-penyokong mereka,” katanya.

Jelasnya, pembubaran agensi SPAD dan segala tugas-tugas yang dilakukan agensi terbabit akan dikembalikan kepada Kementerian Pengangkutan.

Dr. Mahathir berkata, jumlah pegawai kontrak lantikan politik mencecah 17,000 orang dan beliau akan meneliti semula mana-mana pegawai yang benar-benar penting dan berpendapatan rendah untuk diambil semula bekerja.

“Jumlah pegawai kontrak lantikan politik mencecah 17,000 orang. Apa yang kita akan lakukan adalah menamatkan kontrak mereka tetapi kita akan libatkan kembali mereka yang benar-benar penting serta mereka yang berpendapatan rendah dan bukannya yang berkaitan politik,” ujarnya.

Terdahulu, Dr. Mahathir memberi jaminan tidak akan mengurangkan jumlah penjawat awam sebaliknya akan mengurangkan bilangan kementerian. Kakitangan yang terlibat dengan penstrukturan akan dipindahkan mengikut kesesuaian agensi termasuk ke sektor swasta. – utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.