Perlantikan Guan Eng didakwa calarkan imej kerajaan dimata rakyat

Sudah maklum, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng telah dilantik menjadi Menteri Kewangan selepas Pakatan Harapan berjaya mengambil alih  pemerintahan negara pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Bagaimanapun, pelantikan Guan Eng sebagai Menteri Kewangan terus dipersoal memandangkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu ketika ini sedang dibicarakan di mahkamah berhubung skandal rasuah.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, keputusan melantik Setiausaha Agung DAP itu menimbulkan persoalan terhadap integriti dan kredibiliti sebuah kerajaan yang sebelum ini menjanjikan di dalam manifesto mereka untuk menghapuskan rasuah secara habis-habisan.

Kata beliau, rakyat juga mempertikaikan pelantikan Guan Eng sebagai Menteri Kewangan kerana bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu telah pun didakwa di mahkamah atas kes rasuah.

“Apa sudah jadi dengan ‘Rule of Law’ di bawah kerajaan regim Tun Mahathir? Nampaknya Kerajaan baru ini tidak peduli pertanyaan rakyat kenapa lantik Guan Eng yang sudah pun didakwa di mahkamah kerana kes rasuah.

“Ini ‘precedent’ yang buruk. Betul dia belum didapati bersalah tetapi bukankah Guan Eng sedang dibicara. Dia ada kes dan dia ada pertuduhan melalui bukti-bukti yang dikemukakan oleh SPRM.

“Kini rakyat berhak merasa bimbang apakah proses pendakwaan Guan Eng akan digugurkan untuk menghalalkan pelantikannya sebagai Menteri Kewangan,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Mohd. Puad berkata, kes Guan Eng dengan kes bekas menteri besar Selangor, Mohamad Khir Toyo mempunyai persamaannya.

Tambahnya, persamaannya adalah kedua-duanya membeli rumah banglo di bawah harga pasaran dan dakwaannya ialah si penjual mendapat benda lain sebagai balasannya.

Beliau berkata, akibat kes berkenaan, Khir Toyo bukan sahaja terpaksa melepaskan jawatan tetapi juga didapati bersalah dan telah menjalani hukumannya.

“Sebaliknya Guan Eng dilantik pula sebagai Menteri Kewangan.

“Persoalannya mana Bar Council? Mana Bersih? Mana ‘Transperancy International Malaysia’? Mana Ambiga? Mana parti-parti dalam Pakatan yang selama ini kononnya jaguh anti rasuah. Ini termasuk parti DAP. Kenapa ada ‘double standard’,” ujarnya.

Beliau berkata, jika bermaruah, mereka sepatutnya mendesak Guan Eng agar tidak menerima jawatan Menteri Kewangan.

“Ambil contoh mudah, Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen mendesak supaya semua parti dalam Pakatan menolak permohonan Richard Riot ahli Parlimen Serian yang juga bekas Menteri Sumber Manusia untuk menyertai parti mereka atas alasan bekas Setiausaha Politik kepada Richard Riot telah ditahan SPRM kerana isu rasuah.

“Masalahnya yang disiasat adalah Setiausaha Politik beliau dan bukan Richard Riot.

Mohd. Puad berkata, mengapa orang DAP sperti Chieng Jen tidak mendesak perlantikan Guan Eng dibatalkan.

“Inilah hipokrasi kerajaan Pakatan,” bidasnya.

Baru-baru ini, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menetapkan 30 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula perbicaraan rasuah Guan Eng dan ahli perniagaan Phang Li Koon.

Malah, pihak peguam mencadangkan kes rasuah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu digugurkan.

Menurut peguamnya, Ramkarpal Singh, mereka akan memfailkan representasi kes itu kepada Peguam Negara yang baharu, selain turut mencadangkan dakwaan terhadap Guan Eng digugurkan. – Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.