Propaganda Pakatan terhadap imej Najib jadi punca BN kalah teruk

Propaganda Pakatan Pakatan terhadap imej Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi punca Barisan Nasional (BN) yang telah memerintah negara 60 tahun lebih, kalah teruk pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), 9 Mei lalu.

Ketua Pemuda MIC, Datuk Sivarraajh Chandran berkata, salah satu faktor yang telah menyebabkan BN tumbang hari ini merupakan imej buruk bekas perdana menteri keenam itu yang terpalit dengan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Kata beliau, Najib mempunyai imej berkenaan disebabkan propaganda yang dibuat oleh Pakatan Harapan.

“Pada pandangan peribadi saya, (Najib) mungkin merupakan salah satu faktor (kekalahan BN) ialah imej beliau (Najib).

“Beliau mempunyai imej tersebut disebabkan propaganda yang dilakukan oleh Pakatan Harapan masa itu tanpa mengetahui sama ada Najib buat salah guna itu atau tidak.

“Tapi saya rasa memang satu faktor yang telah menyebabkan kita tumbang hari ini merupakan imej beliau ada masa itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, jika bekas Presiden UMNO dan Pengerusi BN itu berundur lebih awal daripada BN, parti itu diyakini mampu memperolehi kemenangan dua pertiga dan kekal berkuasa pada hari ini.

Bagaimanapun, Sivarraajh berkata, kekalahan besar parti itu pada PRU-14 lalu tidak boleh dipertanggungjawabkan sepenuhnya kepada Najib semata-mata.

Sebaliknya, beliau berkata, semua pimpinan parti berkenaan patut dipersalahkan kerana mereka tidak menegur kelemahan itu lebih awal sebelum PRU-14.

“Saya tak ingin salahkan beliau 100 peratus kerana kita pun bertanggungjawab pada masa itu, kita pun tak buka mulut, pemimpin-pemimpin BN pun tak buka mulut,” ujar beliau.

BN tumbang dalam pilihan raya umum pada 9 Mei lalu sehingga membolehkan Pakatan Harapan mengambil alih pemerintahan negara. – Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.