Siasatan 1MDB bertujuan kaburi janji-janji manifesto sebelum PRU14?

Musim Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) telah berlalu. Pakatan Harapan sudah berjaya membentuk kerajaan dan mengambil alih pemerintahan negara selepas lebih 60 tahun lebih di bawah Barisan Nasional (BN).
Sekarang apa yang dinanti-nantikan dan tumpuan rakyat adalah sama ada manifesto PRU-14 kerajaan yang baharu ini dapat dilaksanakan seperti pemansuhan cukai barang dan perkhidmatan (GST), penurunan harga barang dan penurunan harga minyak.
Namun apa yang dilihat Kerajaan Pakatan sehingga hari ini masih belum mampu melaksanakan janji-janji mereka pada PRU-14 lepas walaupun telah mendapat mandat rakyat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim River, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib berkata, pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan usah berselindung dengan mengeluarkan pelbagai kenyataan berbentuk retorik dan alasan yang berbelit-belit kerana rakyat telahpun memberi mereka mandat.
“Banyak sidang akhbar dan wawancara dengan pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan di TV (televisyen), daripada PM (perdana menteri), menteri sehinggalah ke pemimpin-pemimpin muda mereka.
“Bila ditanya pasal janji dalam manifesto PH, masing-masing tak dapat beri jawapan tepat pasal penghapusan GST, menurunkan harga petrol, penurunan harga barang, caruman KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) untuk surirumah apatah lagi nak sentuh pasal janji mereka mahu menghapuskan hutang peneroka Felda,” katanya.
Beliau berkata, apa yang dijawab Pakatan Harapan hanya berbelit-belit dan beretorik.
“Lihatlah apa yang mereka jawab, berbelit-belit, beretorik, lidah dah berbau dan mula nampak cabang. 
“Isu 1MDB (1Malaysia Development Berhad) pula terus ditonjolkan, siasatan terhadap mantan perdana menteri terus dijadikan bahan berita utama semata-mata mahu mengaburi mata rakyat dan pengundi terhadap janji-janji Pakatan Harapan sebelum PRU-14,” ujar Mohd Khusairi yang dipetik menerusi di laman sosial facebooknya.
Beliau yang Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim itu berkata, apa yang melucukan apabila pemotongan 10 peratus gaji jemaah menteri seolah-olah boleh menangani masalah kewangan negara.
“Berapa agaknya jumlah potongan 10% tu? Bertuturlah dengan lidah yang fasih wahai pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan,” tambahnya. – Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.