Warga emas dieksploitasi raih simpati minta sedekah di bazar Ramadan

Kehadiran golongan peminta sedekah terutamanya di bulan Ramadan semakin berleluasa sehingga menimbulkan rasa tidak selesa orang ramai.

Peminta sedekah ini semakin ramai sepanjang bulan Ramadan kerana mereka boleh mendapat hasil yang lumayan kerana ramai umat Islam bersikap suka bersedekah sepanjang bulan mulia ini untuk memperbanyakkan melakukan amal ibadah.

Terdapat sindiket menjadikan warga emas sebagai meraih simpati orang ramai meminta sedekah di sekitar bazar ramadan.

Terkini, seorang warga emas wanita berusia 77 tahun di Sungai Petani, Kedah antara peminta sedekah yang ditemui semasa  Operasi Bersepadu Menyelamatkan Pengemis sempena Kempen Bijak Membantu Elak Tertipu dijalankan.

Warga emas terbabit kononnya meminta sedekah atau sumbangan ikhlas adalah untuk tujuan pembangunan asrama anak yatim. Beliau berkata dihantar anak ke bazar di samping menawarkan buah kurma dalam satu bekas kecil yang dijual dengan harga RM30 sebekas.

Namun, apabila didekati anggota penguatkuasa yang menjalankan Operasi Bersepadu Menyelamatkan Pengemis sempena Kempen Bijak Membantu Elak Tertipu, warga emas itu beredar dari tempat itu dengan tergesa-gesa sebelum menuju ke sebuah pacuan empat roda yang dilihat sedang menunggunya.

Pengarah Kebajikan Masyarakat Kedah, Azmi Abd Karim menjelaskan terdapat banyak pihak yang mengeksploitasi warga emas, kanak-kanak dan orang kurang upaya untuk meraih simpati orang ramai.

Beliau berkata, perlaksanaan Kempen Bijak Membantu Elak Tertipu adalah langkah untuk mengatasi isu terbabit dan mengelakkan orang ramai tertipu kerana aktivit mengemis adalah salah di sisi undang-undang  bawah Akta Orang-Orang Papa (AOP) 1977.

“Ia bertujuan agar masyarakat menyalurkan sumbangan atau derma kepada pertubuhan berdaftar dengan usaha membersihkan imej negara dari gejala pengemisan.

“Isu ini tidak akan selesai jika rakyat masih menderma pada saluran tidak tepat dan menyukarkan golongan pengemis untuk dibantu dan potensi diri mereka tidak dapat dibangunkan.

“Malah, kegiatan mengemis akan mendorong kepada gejala sosial seperti jenayah, penagihan dadah, pemerdagangan orang, perjudian, arak dan pelacuran,” katanya. – utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.