Bursa Malaysia terus catat penyusutan

Pasaran saham Bursa Malaysia terus menyusut disebabkan kebimbangan pelabur tempatan serta asing mengenai pendedahan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad serta Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang mengatakan Malaysia menanggung hutang hampir RM1 trilion kata peniaga.

FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup pada paras 1,775.66 iaitu susut 28.59 mata berbanding 1,804.25 sewaktu ditutup pada Rabu.

Ketika dibuka, indeks utama menambah 4.07 mata kepada 1,808.32 dan bergerak dalam lingkungan antara 1,768.18 dan 1,809.90 sepanjang tempoh dagangan semalam.

Bagaimanapun, kerajaan telah melakukan pelbagai inisiatif untuk menangani hutang negara yang melibatkan kira-kira 65 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan membatalkan dan mengkaji semula projek-projek mega serta tindakan memotong gaji menteri, seterusnya akan memulihkan keyakinan pelabur untuk kemajuan masa depan.

Dalam pada itu, di peringkat tempatan, saham Maybank susut 42 sen kepada RM10.26, TNB turun 18 sen kepada RM14.76, Public Bank rugi 74 sen kepada RM24.36, CIMB merosot 17 sen kepada RM6.05 manakala IHH Healthcare turun 14 sen kepada RM6.18.

Saham-saham aktif pula menyaksikan Sapura Energy susut 2.5 sen kepada 69 sen, MyEG merosot 12 sen kepada 79.5 sen, Hibiscus Petroleum kehilangan setengah sen kepada 95 sen manakala Eduspec tidak berubah pada tujuh sen namun Priceworth International menokok dua sen kepada 24 sen.

Sentimen pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 752 berbanding 235 dengan 375 kaunter tidak berubah, 542 tidak didagangkan dan 22 lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 2.87 bilion unit bernilai RM3.86 bilion berbanding 2.69 bilion unit bernilai RM3.34 bilion pada Rabu.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan merosot 422.31 mata kepada 17,722.89, Indeks Perusahaan berkurangan 33.92 mata kepada 3,197.95 manakala Indeks Perladangan susut 43.89 mata kepada 7,837.53. – utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.