Masih ada lagi yang terpedaya dengan panggilan palsu Macau Scam

Walaupun sudah banyak pendedahan yang dilakukan mengenai penipuan Macau Scam, tetapi orang ramai dilihat masih lagi tidak endah apabila ada sahaja yang tertipu serta menjadi mangsa sindiket penipuan itu.

Modus operandi tetap sama iaitu membuat panggilan palsu dengan menyamar sebagai kakitangan bank atau pewagai polis dan meminta mangsa menyerahkan wang sekiranya tidak mahu ditangkap.

Terbaharu, seorang kakitangan awam di Kuala Terengganu telah mengelami kerugian hampir RM30,000 apabila menjadi mangsa penipuan itu selepas diperdaya dengan penjenayah yang menyamar sebagai pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Idris Abd Rafar menjelaskan, kakitangan awam lelaki berumur 55 tahun itu menerima panggilan dari individu tidak dikenali dan mendakwa mangsa mempunyai rekod jenayah dadah.

Katanya, sekiranya mangsa mahu menyelesaikan rekod jenayah ia boleh dilakukan dengan membuat pembayaran kepada akaun bank yang diberikan suspek.

“Dalam tempoh itu, mangsa dikatakan ada berhubung dengan beberapa individu yang mendakwa bertugas di IPK Pulau Pinang melalui telefon dan aplikasi WhatsApp.

“Tanpa berfikir panjang, mangsa membuat tujuh transaksi ke tiga akaun berbeza kira-kira jam 6.50 petang pada Jumaat lalu bagi menyelesaikan rekod jenayahnya dengan jumlah keseluruhan transaksi mencecah hampir RM30,000,” katanya.

Idris memberitahu, mangsa menyedari ditipu selepas pembayaran dibuat sebelum mengambil keputusan membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu. – utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.