Pelabur ‘lari’ dari Malaysia kerana kenyataan kurang bijaksana Guan Eng

Lim Guan Eng sedang menekan hebat 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan beliau juga ketika ini sibuk memberitahu satu dunia tentang kedudukan mengejutkan dana kerajaan yang dibelenggu skandal berkenaan.

Apa pun, Guan Eng yang kini merangkap sebagai Menteri Kewangan yang baru dilantik harus sedar dan mengingati bahawa beliau bukan lagi ahli politik pembangkang. Meskipun pendekatan lantang dan terbuka beliau berhubung skandal 1MDB disambut baik, namun ia memberi impak sebaliknya dengan pelabur.

Andy Mukherjee dari Bloomberg berkata, beliau merujuk kepada beberapa kenyataan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu sebagai berkata Kementerian Kewangan menjalankan siasatan ke atas firma pelaburan negara yang ditubuhkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya, antara contoh ialah serangan ke atas ketua pegawai eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamy semalam di mana Guan Eng menuduh Arul sebagai “tidak jujur dan tidak boleh dipercayai” dan kenyataannya bahawa tahap hutang Malaysia kini melebihi RM1 trilion.

Beliau berkata, semua ini hanya memberi impak yang tidak besar terhadap keinginan orang ramai untuk melihat keadilan ditegakkan dalam apa yang digelar sebagai skandal kewangan terbesar dunia.

Menurut beliau, sebaliknya ia hanya mencetuskan risiko dengan pelabur berkaitan “pandangan fiskal yang tidak menentu”.

“Para pelabur tidak puas hati. Pelabur asing telah menjual saham mereka di negara ini selama 13 hari berturut-turut.

“Bagi Guan Eng, kenyataannya pada sidang akhbar pertama bahawa hutang kerajaan melebihi satu trilion ringgit kerana ‘bailout’ awam terhadap 1MDB mendapat pujian kerana kejujurannya, tetapi bukan untuk kebijaksanaannya,” katanya.

Tambah beliau, serangannya terhadap Arul Kanda juga tidak wajar.

“Malaysia bukan sebuah  negara yang lekeh tetapi mempunyai taraf A3 oleh Moody’s Investors Service,” katanya lagi.

Beliau berkata, Guan Eng patut tahu tugasnya adalah memastikan para pelabur ditenteramkan dan memastikan ekonomi negara berkembang.

“Guan Eng bukan lagi seorang ahli politik pembangkang tetapi merupakan sebahagian penting dari kerajaan baru yang boleh memulakan prosiding undang-undang terhadap mana-mana pegawai atau pengarah 1MDB,” katanya. – Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.