Pemilihan terbuka jawatan tertinggi mampu baiki imej UMNO

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, keputusan Majlis Tertinggi membuka semua jawatan untuk dipertandingkan dalam pemilihan parti diharap mampu memperbaiki imej parti.

Kata beliau yang juga Ahli Parlimen Jeli, pemilihan itu menjadi platform untuk akar umbi memberikan mandat baharu kepada barisan kepemimpinan yang ada visi dan mempunyai kemampuan mentadbir serta memulihkan imej parti dalam menghadapi cabaran mendatang.

“Dengan keikhlasan dan iltizam politik yang mahu berubah mampu memberi nafas dan wajah baharu kepada UMNO,” katanya.

Beliau berkata, ahli UMNO juga perlu menolak budaya politik `warlord’, sifat angkuh, amalan politik wang dan retorik perkauman melampau yang mencalarkan imej parti.

“Kita tidak boleh terus bersikap jumud dan memandang remeh perkara-perkara ini.

“UMNO perlu berubah kerana rakyat tidak akan menunggu kita. Pemimpin UMNO di setiap peringkat perlu bermuhasabah dan berani untuk melakukan perubahan radikal bagi memulihkan keyakinan rakyat terhadap parti ini.

“UMNO juga perlu menjadi pembangkang yang konstruktif untuk mewujudkan ‘semak dan imbang’ yang berkesan pada negara selain menangani beberapa kelemahan pentadbiran dalam kerajaan terdahulu.

“Sebagai salah seorang anggota Jemaah Menteri sebelum ini dan bersandarkan kepada prinsip ‘collective responsibility’, kami juga bertanggungjawab terhadap beberapa perkara yang berlaku,” ujar beliau yang juga Pengerusi UMNO Kelantan.

Justeru, Barisan Nasional (BN) dan UMNO perlu berlapang dada dan menerima suara rakyat dengan terbuka.

“UMNO masih diberikan kepercayaan oleh rakyat dan ini diterjemahkan menerusi 54 kerusi di Dewan Rakyat.

“Amanah besar sebagai pembangkang ini perlu ditunaikan dengan sebaik mungkin,” katanya. – Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.