Penjawat awam dinasihatkan jangan terlalu sibuk berpolitik

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mahu penjawat awam terus komited dalam menjalankan tanggungjawab mereka kepada pentadbiran negara berbanding sibuk berpolitik.

Presidennya Datuk Azih Muda memaklumkan, penjawat awam perlu memberi tumpuan kepada pelaksaan dasar dan mengingati semula ikrar perkhidmatan awam iaitu taat setia kepada kerajaan yang memerintah dan rakyat negara ini.

“Pencapaian prestasi penjawat awam pada ketika ini berada pada tahap yang lebih baik, teruskan tugas untuk berkhidmat kepada negara dan kerajaan,” katanya.

Menurut Azih, penjawat awam seharusnya memberi tumpuan kepada pentadbiran kerajaan baharu yang dibentuk daripada sibuk untuk turut berpolitik.

Jelasnya, walaupun terdapat beberapa perubahan struktur yang telah dilakukan oleh kerajaan baharu tetapi penjawat awam harus tetap fokus kepada menjalankan tanggungjawab hakiki seperti biasa.

Selain itu, pihaknya juga berharap kerajaan baharu akan mempertimbangkan untuk pemberian Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) kepada seluruh 1.6 juta penjawat awam di negara ini.

Katanya, adalah wajar penjawat awam diberi kenaikan KGT memandangkan dengan kenaikan kos sara hidup yang semakin tinggi.

“Penjawat awam ini tiada kena-mengena dengan janji politik mana-mana kerajaan. Malah saya yakin dengan kepimpinan Dr Mahathir (Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad), beliau amat memahami  kedudukan penjawat awam negara maka saya harap beliau boleh mempertimbangkan kenaikan ini,” katanya. – utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.