Syed Saddiq gesa peminjam PTPTN bayar hutang sebelum melancong ke luar negara

Anggota Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menggesa peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang berkemampuan meskipun pendapatan kurang daripada RM4,000 sebulan, mesti bertanggungjawab dalam menyelesaikan hutang mereka.

Beliau yang juga Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berkata, peminjam yang komitmen kurang dan berkemampuan menggunakan gaji mereka bagi memenuhi keperluan gaya hidup seperti bercuti dan mempunyai telefon bimbit yang mahal, harus menyelesaikan pinjaman terlebih dahulu.

“Perkara ini perlu dilihat secara kes demi kes iaitu kerajaan perlu membezakan antara mereka yang berkemampuan dengan mereka yang tidak mampu.

“Bagaimanapun, saya ingin memberi penekanan di sini bagi mereka yang berkemampuan untuk bercuti ke luar negara, kamu berkewajiban untuk membayar balik pinjaman,” katanya dalam satu kenyataan.

Syed Saddiq berkata, matlamat penangguhan pembayaran balik pinjaman PTPTN seperti yang dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan adalah untuk membantu graduan yang menganggur dan mereka yang sudah mempunyai pekerjaan tetapi berpendapatan rendah.

Tambah Anggota Parlimen Muar itu, peminjam itu adalah antara kumpulan terbesar yang terjejas dengan langkah “blacklist” oleh PTPTN.

“Ada peminjam yang mendapat kerja tetapi gaji mereka hanya sekitar RM1,500 hingga RM2,000 sebulan. Ini tidak mencukupi kerana kos sara hidup yang tinggi pada hari ini. Malah kadar pengangguran belia di Malaysia juga tinggi.

“Jadi kita (Pakatan Harapan) berpendapat daripada terus menghukum peminjam dengan menyenaraihitamkan mereka lebih baik kami bantu golongan ini,” ujar beliau. – Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.