Tak adil Guan Eng keluarkan kenyataan tak tepat kepada Presiden 1MDB

Arul Kanda Kandasamy berkata, beliau telah mendapatkan nasihat undang-undang dari peguamnya ekoran kenyataan dikeluarkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng baru-baru ini berhubung isu 1Malaysian Development Berhad (1MDB).

Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB itu menafikan kenyataan Guan Eng dan menyifatkan kenyataan itu sebagai serangan yang berpotensi memfitnah serta bersifat peribadi terhadapnya.

“Seperti yang telah saya lakukan pada masa lalu, saya komited untuk memberi kerjasama sepenuhnya dan berdasarkan pengetahuan terbaik saya kepada sebarang siasatan yang berterusan atau baru mengenai perkara berkaitan 1MDB.

“Semasa mesyuarat, merujuk kepada kenyataan yang dibuat oleh Yang Berhormat Menteri Kewangan, saya ditanya banyak soalan, yang mana dari apa yang saya ingat, saya telah jawab dengan jujur dan dengan paling baik sekali tetapi tanpa mempunyai dokumen sokongan bersama saya pada masa itu.

“Oleh itu, saya menjawab semua soalan dengan sebaik mungkin, dengan benar dan pengetahuan terbaik saya berdasarkan apa yang saya ingat dari rekod syarikat, pengetahuan peribadi saya (atau kekurangan pengetahuan tentangnya), dan apa yang saya ingat tentang maklumat yang diberikan oleh pegawai di syarikat,” katanya.

Dalam kenyataan baru-baru ini, Guan Eng menggelarkan Arul Kanda sebagai seorang yang ‘tidak jujur’ dan ‘tidak boleh dipercayai’ selepas pertemuan mereka di Kementerian Kewangan, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Arul Kanda berkata, adalah tidak adil untuk Guan Eng mengeluarkan kenyataan umum yang dianggap memberi gambaran tidak tepat dan tidak sepenuhnya mewakili setiap soalan dan jawapan, sepanjang pertemuan berkenaan.

“Keadaan saya dan konteks jawapan saya dengan mudah tidak dimasukkan sehinggakan ia menghasilkan gambaran yang tidak benar dan memberikan gambaran negatif tentang saya,” katanya.

Tambahnya, tidak boleh dipertikaikan dia menyertai 1MDB hanya pada Januari 2015 iaitu selepas tindakan pihak pengurusan dan ahli lembaga pengarah sebelumnya menyebabkan 1MDB mengumpul beban hutang, selain banyak projek 1MDB bermasalah.

“Pendek kata, saya hanya menyertainya selepas berlakunya apa yang dikatakan sebagai salah laku yang disebut dalam Laporan PAC 1MDB, Laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB dan saman sivil DOJ,” ujar Arul Kanda.

Beliau berkata, beberapa pihak berkuasa tempatan sudah dan sedang menjalankan siasatan terhadap 1MDB termasuk beberapa isu berkaitan dana 1MDB (khususnya berhubung siapa yang bertanggungjawab terhadap pelaburan asal dan pelaburan yang sedang berjalan) sejak 2015 yang dikemaskini bukan hanya untuk siasatan pihak berkuasa, malah makluman kepada ahli lembaga serta pemegang saham.

“Tumpuan utama saya adalah terhadap rasionalisasi perniagaan syarikat,” katanya. – Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.