Ceupacs harap kerajaan PH beri bonus kepada semua kakitangan awam

Bulan Ramadan dan akan menjelangnya Aidilfitri, pastinya kakitangan awam mengharapkan berita baik dari kerajaan untuk pemberian bonus atau duit raya sempena perayaan terbabit.

Sehubungan itu, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap kerajaan Pakatan Harapan (PH) dapat memberikan bonus Aidilfitri kepada semua kakitangan awam di setiap peringkat.

Mengulas lanjut, Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, beliau turut mengalu-alukan sekiranya kerajaan boleh memberikan bonus kepada kakitangan awam melebihi RM500.

“CUEPACS berharap kerajaan dapat memberikan bantuan Aidilfitri kepada semua penjawat awam di setiap peringkat tanpa ada perbezaan mengikut perjawatan. Selagi seseorang itu penjawat awam, dia layak untuk mendapat bantuan tersebut, ja­ngan membezakanlah.

“Kami di CUEPACS juga berharap pembayaran bantuan Aidilfitri tersebut dapat dilakukan secepat mungkin. Penjawat awam terutamanya yang bergaji rendah amat mengharapkan bantuan itu kerana baki gaji mereka memang tidak mencukupi,” katanya.

Menurut Azih, sebelum ini kerajaan di bawah pimpinan Barisan Nasional (BN) memutuskan memberi bonus kepada kakitangan awam sebanyak RM500 dan berharap  Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dapat memberi bantuan itu pada nilai yang lebih tinggi.

“Kami di CUEPACS sebelum ini dihujani pertanyaan bertubi-tubi daripada penjawat awam, jadi kenyataan Guan Eng bahawa kerajaan akan mempertimbangkan bantuan Aidilfitri untuk penjawat awam merupakan satu kelegaan buat kami.

“Jumlah bantuan sebanyak RM500 bagi kami adalah jumlah yang memadai, cuma jika Dr. Mahathir ingin memberi lebih pun bagus juga. Kami yakin perkara ini mungkin boleh berubah dan mungkin juga boleh lebih tapi saya rasa tidak kurang daripada RM500,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, pihaknya akan mempertimbangkan bantuan terbabit dengan mengusulkan cadangan kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bagi membantu penjawat awam yang bergaji rendah untuk menyediakan persiapan menyambut Aidilfitri. – utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.