Peniaga Asing semakin memonopoli perniagaan di Malaysia

Sebelum ini, kemasukan warga asing seperti Indonesia, India, Thailand, Myanmar, Vietnam dan Kemboja di negara ini hanya untuk memenuhi pekerjaan di sektor jenis 3D (berbahaya, kotor dan sukar).

Bagaimanapun, kini warga asing dilihat semakin memonopoli perniagaan dengan menguasai lot kedai, pasar meinggu dan pasar malam. Terdapat antara golongan ini hidupnya lebih senang daripada penduduk tempatan sendiri.

Menurut Ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai, David Marshel, isu mengenai warga asing menjadi peniaga ini amat membimbangkan dan masih belum mempunyai sebarang penyelesaian.

Beliau berkata, pada awal kedatangan warga asing adalah dengan makan gaji namun kemudian mereka mula mencari peluang dengan membuka perniagaan sendiri tanpa perlu membayar sebarang cukai berbanding rakyat tempatan.

“Warga asing yang datang ke Malaysia hanya untuk berkerja tapi kini mereka membuat pelbagai aktiviti perniagaan selain dari kerja, kesian pada pemilik kedai runcit rakyat Malaysia yang tertekan dengan pelbagai kos tapi warga asing tidak perlu bayar apa-apa cukai tetapi masih mampu menjalankan perniagaan runcit dan kontraktor.

“Apa yang sangat menyedihkan, rakyat kita pula bertuankan warga asing. Dengan adanya kerajaan baru ketika ini, saya mohon keluh kesah ini segera diperdengarkan. Kerajaan perlu bertindak membatalkan semua lesen kedai runcit milik warga asing.

“Kebanyakan mereka menggunakan lesen milik warga tempatan yang disewakan kepada warga asing. Semua ini harus di hentikan dengan kadar segera. Saya beri contoh, lihat sahaja Bukit Mertajam yang kini seolah-olah ‘Pekan Bangla’ tatkala ini.

“Ini yang sudah berlaku sejak sekian lama. Kalau dituduh ada unsur penyelewengan terhadap pemberian lesen atau lesen dipajakkan atau dijual kepada warga asing, tidak boleh ditolak mentah-mentah,” katanya.

Selain itu, David turut mempersoal bagaimana warga asing mempunyai kuasa untuk menubuhkan syarikat dan perniagaan tanpa mendapat sebarang sekatan dari pihak berkuasa.

“Sehingga hari ini begitu banyak peniaga warga asing sekarang malah seperti cenawan tumbuh sana sini, ini sekaligus menunjukkan pihak berkuasa gagal bertindak terhadap golongan itu. Ini menimbulkan persepsi negatif rakyat, termasuk tanggapan berlaku rasuah dalam melindungi peniaga asing itu.

“Tetapi agak pelik juga, mustahil penguat kuasa kita tidak nampak kelibat peniaga warga asing di kawasan mereka, kecuali jika mereka telah diberi suapan supaya tidak mengambil tindakan atau membutakan mata terhadap kehadiran peniaga warga asing ini.

“Selain masalah penguatkuasaan, sikap orang kita sendiri menjadi punca bilangan premis perniagaan warga asing bercambah dengan cepat. Orang kita tidak sama dengan warga asing, lebih suka wang segera, cukuplah disewakan lesen dan permit tanpa perlu bekerja keras. Kerajaan perlu prihatin dan ambil serius isu ini. Jangan biarkan negara kita di kuasai orang asing,”. ujarnya. – utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.