“Surirumah lelaki” pun mahu sumbangan caruman KWSP

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mencadangkan kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk suri rumah melibatkan dua peratus daripada gaji suami dan RM50 daripada dana kerajaan.

Bagaimanapun, kerajaan diharap mempertimbangkan cadangan untuk suri rumah lelaki menerima caruman KWSP iaitu penolakan dua peratus daripada gaji isteri dan RM50  dari dana kerajaan sama seperti suri rumah wanita memandangkan terdapat suami yang tidak bekerjaya dan menjalankan tanggungjawab sebagai suri rumah.

Pakar percukaian Universiti Tun Abdul Razak, Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata, perlaksanaan ini harus dipertimbangkan semula kerajaan agar nasib suri rumah lelaki terbela dan memastikan suri rumah lelaki turut mempunyai simpanan sekiranya telah mencecah usia 60 tahun.

“Kita perlu tahu suri rumah ini bukan sahaja terhad kepada wanita namun ada lelaki yang terpaksa menggalas tanggungjawab tersebut atas alasan tersendiri dan golongan ini tidak boleh diabaikan oleh kerajaan.

“Sudah tentu penolakan gaji isteri yang ingin dilakukan ini perlu mendapat persetujuan terlebih dahulu. Kerajaan juga perlu melihat kepada pendapatan isi rumah keluarga berkenaan bagi memastikan niat baik untuk membantu rakyat dapat dilaksanakan dengan telus dan menyeluruh,” katanya.

Barjoyai berkata, kerajaan juga perlu lebih fokus caruman KWSP dan potongan dua peratus itu kepada golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) dan pertengahan (M40) untuk melaksanakan skim KWSP tersebut kerana faktor purata simpanan mereka yang rendah setiap tahun.

Sementara itu, penganalisis ekonomi dari ­Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff memaklumkan sumbangan RM50 dari caruman KWSP itu dapat membantu golongan suami merancang kewangan simpanan mereka dengan lebih baik.

Jelasnya, perlaksanaan caruman KWSP ini juga sedikit sebanyak memberi semangat kepada kaum lelaki untuk mencari pekerjaan yang bergaji lebih besar supaya jumlah simpanan KWSP lebih tinggi.

“Inisiatif kerajaan ini ibarat ‘serampang dua mata’. Selain membantu golongan suri rumah dari segi simpanan jangka masa panjang, secara tidak langsung pencarum akan menjadi lebih bersemangat untuk mencari peluang pekerjaan yang menawarkan gaji tinggi bagi memastikan simpanan KWSP mereka menjadi lebih banyak nanti,” katanya. – utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.