2 peratus potongan KWSP surirumah diambil dari caruman suami

Baru-baru ini, terdapat cadangan kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk suri rumah melibatkan dua peratus daripada gaji suami dan RM50 daripada dana kerajaan.

Namun, cadangan itu telah mendapat bantahan segelintir golongan suami dan menegaskan kerajaan tidak mempunyai hak untuk menolak gaji suami untuk dicarumkan kepada isteri memandangkan gaji suami adalah milik sendiri dan bukannya milik isteri.

Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menegaskan cadangan wujudkan caruman KWSP kepada golongan suri rumah sebenarnya tidak melibatkan caruman tambahan dipotong dari gaji suami.

Beliau berkata, sebaliknya dua peratus yang dipotong itu adalah daripada 11 peratus gaji suami yang dicarumkan kepada KWSP untuk tujuan itu.

“Kita tidak ambil tambahan, hanya ambil daripada 11 peratus. Bagilah pengiktirafan kepada wanita,” katanya.

Menurutnya, kementerian akan membincangkan mekanisme pelaksaan pemotongan caruman terbabit dengan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Shahril Ridza Ridzuan pada Khamis ini.

Jelas Dr Wan Azizah, antara perkara yang diambil perhatian dalam pertemuan terbabit adalah tentang suami yang mempunyai isteri lebih dariapda satu.

Terdahulu, Ketika musim Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Pakatan Harapan dalam manifestonya menyatakan pihaknya akan mewujudkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk golongan suri rumah jika menang PRU14.

Apabila kerajaan Pakatan Harapan telah membentuk kerajaan baharu, Dr Wan Azizah merupakan Presiden Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melaksanakan janji terbabit. – utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.