Ada cubaan untuk jadikan Malaysia sebagai negara sekular

Tindakan sesetengah pihak yang mahu memansuhkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau mana-mana institusi agama di negara ini menunjukkan terdapat cubaan awal mahu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara sekular.

Sehubungan itu, Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman berharap kerajaan Pakatan Harapan mengambil perhatian serius perkara terbabit agar sebarang gerakan untuk memansuhkan institusi agama negara tidak semakin berleluasa.

“Semua rakyat negara ini perlu ingat bahawa Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Islam adalah agama Persekutuan tetapi hak untuk orang bukan Islam mengamalkan agama mereka tidak diganggu.

“Kita kena ingat Malaysia bukan sebuah negara sekular, cubaan untuk mendesak institusi agama seperti Jakim dimansuhkan dilihat sebagai cubaan untuk menjadikan negara ini negara sekular,” katanya.

Badul Rahman berkata, penubuhan institusi Jakim adalah sebagai pemudah cara untuk hal berkaitan dengan umat Islam seperti  penentuan fatwa, falak dan lain-lain lagi.

“Dengan adanya Jakim umat Islam dapat bersatu di dalam hal-hal tertentu kerana setiap perkara berkaitan agama Islam diselaraskan dengan bantuan Jakim jadi amat wajar institusi ini dipertahankan.

“Sebagai contoh, soal penentuan Hari Raya Aidilfitri, negeri-negeri boleh buat keputusan bila tarikh tersebut tetapi dengan adanya Jakim keputusan tersebut diselaraskan,” katanya.

Sementara itu, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata sepatutnya isu berkaitan institusi agama tidak disentuh memandangkan ia berkaitan dengan Perlembagaan.

“Kalau institusi agama seperti Jakim dan lain-lain ditiadakan, jadi maknanya Islam sebagai agama Persekutuan tidak lagi ada roh dan semangatnya.

“Seeloknya institusi agama jangan disentuh atau diganggu kerana kewujudannya selaras dengan Perlembagaan Persekutuan,” katanya. – utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.