Anwar janji martabatkan bahasa melayu sebagai bahasa kebangsaan

Kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan akan ditegakkan dan tidak akan ada kompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mencabar kedudukan tersebut, kata Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Ketua Umum Pakatan Harapan berkata, jaminan itu dibuat berdasarkan kekhawatiran pihak-pihak tertentu tentang kedudukan Bahasa Melayu selepas Pakatan Harapan mengambil alih Kerajaan Persekutuan pada pilihan raya umum 9 Mei lepas.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, semua aktiviti formal, sama ada di peringkat Persekutuan atau negeri masih mempertahankan bahasa kebangsaan.

“Bagaimanapun, kita kena juga bersikap terbuka jika ingin berjaya dengan menguasai Bahasa Inggeris dengan baik.

“Sementara, bahasa Cina pula sudah jadi bahasa perdagangan, jadi jangan halang jika anak Melayu, anak Cina dan India mahu menguasai bahasa itu, malah kita perlu bantu.

“Tetapi, bahasa Melayu (sebagai bahasa kebangsaan) tidak ada kompromi … mengenai bahasa itu, jangan risau,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, selepas pertemuan tertutup dengan EXCO Perak, Anwar berkata kerajaan negeri Pakatan Harapan diminta tidak terburu-buru mengenakan tindakan terhadap keputusan kerajaan sebelum ini, sebaliknya perlu berdasarkan tata kelola yang baik serta menjauhi dari dendam.

Katanya, tindakan perlu dibuat atas kepentingan rakyat terutamanya tentang syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Jangan ambil tindakan kerana dendam atau iri hati tetapi keputusan yang dibuat mestilah berdasarkan prinsip ‘good governance’ dan memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Beliau juga berkata, tidak mempunyai masalah bagi kerajaan negeri Pakatan Harapan meneruskan GLC yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri sebelum ini sekiranya ditadbir dengan baik dan cekap.

Tetapi, Anwar berkata, tindakan boleh dikenakan sekiranya GLC yang ditubuhkan itu membazir, bertindih peranan dengan agensi atau jabatan sedia ada serta pembayaran kadar elaun terlalu tinggi terhadap tokoh politik yang dilantik dalam GLC berkenaan.

Dalam pada itu, Anwar juga mendesak kerajaan negeri Pakatan Harapan segera mengambil contoh langkah Kerajaan Persekutuan memotong 10 peratus gaji anggota Kabinet melibatkan anggota EXCO. – Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.