Kedai Nasi Kandar akan turunkan harga makanan selepas sifar GST?

Nasi kandar antara makanan utama yang cukup terkenal di kalangan rakyat Malaysia. Namun, isu yang sering mendapat perhatian orang ramai adalah kedai nasi kandar sering disifatkan sebagai mahal.

Sudah beberapa kali tular di media sosial orang awam memuatnaik status tidak puas hati dengan harga yang dikenakan kepada mereka apabila makan di kedai nasi kandar.

Bagaimanapun, kerajaan Pakatan Harapan telah menetapkan kadar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kepada paras sifar sekali gus memberi gambaran kedai nasi kandar akan menunjukkan penurunan harga barang.

Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Ayoob Khan Muhammad Yakub berkata pihaknya memberi jaminan akan menurunkan harga selepas menetapkan GST sifar peratus terbabit.

Beliau berkata, persatuannya amat menyambut baik perlaksaan kerajaan dengan menurunkan GST pada kadar sifar peratus.

“Kalau GST sudah sifat, mesti kita kena turunkan harga. Sebab sebelum ini semua harga sudah termasuk GST, bila kerajaan tarik balik pelaksanaannya mesti akan turun harga.

“Malaysia belum layak untuk laksana GST, sebab ramai lagi orang miskin dan bila tidak ada orang miskin barulah boleh laksanakan,” katanya.

Menurutnya, pelaksanaan GST ini tidak memberi kesan kepada persatuan peniaga restoran kerana mereka hanya sebagai orang tengah yang mengumpul GST dan diberikan kepada kerajaan.

“Pemansuhan ini tidak akan beri kesan kepada cukai kami. Sebab kami hanya orang tengah yang kumpulan GST, dan tugas kami beri kepada kerajaan. Bila dimansuhkan, tidak payah kutip dan beri kepada kerajaan lagi,” jelasnya. – utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.