Sikap dermawan rakyat Malaysia punca pengemis warga asing makin ramai

Sikap masyarakat yang mudah simpati dan bersedekah terutamanya pada bulan Ramadan mendorong lambakan pengemis terutamanya warga asing untuk meminta derma.

Malah, terdapat lambakan pengemis warga asing ini terdiri daripada golongan sindiket yang menggunakan pelbagai cara untuk mendapat keuntungan dengan mudah sehingga mencecah ribuan ringgit.

Antara cara yang sanggup digunakan pengemis warga asing untuk meraih simpati penduduk negara ini adalah dengan menggunakan agama dalam mengutip derma sehingga mengelirukan masyarakat.

Menurut, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru, Normawarni Mahat, sepanjang bulan Ramadan tahun ini telah menunjukkan kebanjiran pengemis warga asing berbanding tahun sebelum ini.

Katanya, melalui aduan dari orang ramai seramai 15 kakitangan JKM telah menyelamatkan empat warga asing yang mengemis di beberapa bazar Ramadan.

“Berdasarkan aduan awam, kami menjalankan pemantauan selama satu jam setengah bermula jam 6 petang, sebelum bertindak.

“Kami dapati, mereka menggunakan modus operandi dengan membawa tabung derma masjid sebelum duduk di satu sudut bazar Ramadan untuk mengutip derma,” katanya.

Normawarni berkata, kesemua pengemis yang diselematkan adalah berusia lingkungan 30-an dan seorang lelaki warga emas berusia 63 tahun telah ditempatkan di rumah perlindungan JKM sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen.

Katanya, seorang daripada mereka juga pernah ditahan dalam operasi sebelum ini atas kesalahan mengikut Akta Orang Papa 1977. – utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.