Tuntutan HINDRAF umpama ‘menuang minyak kedalam api”

Tuntutan Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) yang mahu Universiti Teknologi Mara (UiTM) turut dibuka kepada semua kaum ke institusi pengajian tinggi itu mencetuskan rasa kurang senang dikalangan kaum Melayu dan Bumiputera, kata Presiden Persatuan Alumni GPMS UiTM, Muhamad Akmal Mohd Dahalan.

Beliau berkata, tuntutan Hindraf ini dipandang serius kerana ia jelas bertentangan dengan artikel 153 Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

“Kami memandang serius tuntutan ini yang jelas bertentangan dengan artikel 153 Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang menjamin hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta menetapkan bahawa kemasukan UiTM adalah khusus untuk orang Melayu dan Bumiputera,” kata beliau.

Beliau berkata demikian selepas Persatuan Alumni GPMS UiTM itu membuat laporan polis terhadap Hindraf bagi membantah tuntutan berkenaan.

Enam lagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut hadir dan berhimpun secara aman di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam bagi menggesa pihak polis mengeluarkan arahan terhadap Hindraf agar tidak mengeluarkan lagi kenyataan berkenaan isu tersebut.

Enam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu adalah Persatuan Alumni UiTM (PAUiTM), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Alumni GPMS, Engineering Society UiTM, Persatuan Alumni MPP UiTM (PIMPIN) dan Alumni UiTM Perlis.

Mengulas lanjut, Muhamad Akmal berkata, tuntutan itu dilihat sebagai cubaan menghasut selain boleh mecetuskan ketegangan antara kaum di Malaysia.

“Oleh itu, kami menggesa pihak polis mengambil tindakan terhadap kenyataan Hindraf itu yang mana dilihat boleh mewujudkan ketegangan kaum, sekali gus boleh menyebabkan perkara tidak diingini berlaku,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau juga menggesa kerajaan Pakatan Harapan tidak meluluskan tuntutan Hindraf berkenaan.

“Kami juga menyeru kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad agar tidak meluluskan tuntutan Hindraf itu,” kata.

Baru-baru ini, Hindraf menyerahkan memorandum kepada Jawatankuasa Pembaharuan Institusi (IRC) dengan menyenaraikan 25 cadangan termasuk pengambilan mandatori 15 peratus pelajar kaum india ke universiti awam termasuk UiTM.

Sementara itu, Presiden GPMS, Zamri Mohd Isa berkata, kesemua wakil NGO berkenaan bercadang menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V dalam masa terdekat bagi memohon agar UiTM diletakkan di bawah perlindungan Majlis Raja-raja Melayu.

Beliau berkata, cara berkenaan harus untuk mempertahankan institusi pendidikan bumiputera itu daripada diganggu dan digugat pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Dengan cara ini (meletakkan UiTM di bawah Majlis Raja-raja), kami berharap isu sebegini tidak berulang  sekali gus mengekalkan peranan dan fungsi UiTM,” kata Zamri. – Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.