17,000 pekerja kontrak dan tetap yang diberhentikan ‘sengsara’ tempuhi Aidilfitri

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini telah mengumumkan akan memberhentikan 17,000 kakitangan kontrak dan tetap. Notis pemberhentian diberikan adalah selama sebulan.

Beliau berkata, tindakan tersebut adalah satu strategi yang dilakukan untuk mengurangkan perbelanjaan kerajaan.

Bagaimanapun, Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berkata notis pemberhentian yang singkat diberikan itu amat memberi kesan kepada kakitangan sehingga menyukarkan mereka untuk mencari pekerjaan sekali gus ‘sengsara’ dalam menempuhi Aidilfitri yang bakal disambut oleh umat Islam tidak lama lagi.

Presidennya, Datuk Azih Muda memaklumkan terdapat kakitangan yang diberi notis pemberhentian meminta tempoh secukupnya untuk mereka mencari kerjaya baru tanpa menjejaskan punca pendapatan mereka.

“Kebanyakan mereka meminta notis pemberhentian dilanjutkan supaya mempunyai tempoh secukupnya untuk menguruskan permohonan kerjaya di tempat lain tanpa menjejaskan punca pendapatan mereka.

“Jadi, CUEPACS merayu kepada kerajaan untuk mempertimbangkan lanjutan notis pemberhentian, khususnya golongan pekerja daripada kumpulan pelaksana satu, dua dan pengurusan serta profesional (P&P) yang langsung tidak terbabit dengan urusan dasar,” kata beliau.

Azih berkata, terdapat ramai pekerja yang menerima notis pemberhentian telah dan datang menemui CUEPACS meluahkan rintihan.

“Secara berperingkat, golongan pekerja kontrak dan tetap yang terkesan dengan penamatan perkhidmatan seperti diumumkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 23 Mei lalu hadir ke CUEPACS untuk menyuarakan rintihan mereka,” ujarnya.

Selain itu, Azih juga berharap Perdana Menteri akan memberi maklumat balas sewajarnya mengenai perkara berkaitan dan berharap dapat bertemu untuk berbincang.

“Kita sudah utus surat berhubung hal ini (pertimbangan melanjutkan notis pemberhentian) kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, justeru saya merayu ia mendapat maklum balas sewajarnya.

“Kerajaan memang mempunyai berhak menamatkan sebarang kontrak perkhidmatan, tetapi dalam hal ini kita minta supaya beri sedikit keanjalan kerana ia berlaku menjelang Aidilfitri,” katanya lagi. – utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.