Guan Eng jangan buat pandangan berat sebelah terhadap siasatan 1MDB

Menteri Kewangan Pakatan Harapan, Lim Guan Eng cuma menceritakan separuh dari apa yang sudah terjadi berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan berusaha menyalahkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kata bekas Pengarah Strategi dan Komunikasi Kementerian Kewangan, Datuk Lokman Noor Adam.

Beliau merujuk kepada kenyataan akhbar bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu bertarikh 27 Mei 2018.

Beliau berkata, terdapat lebih banyak lagi maklumat tentang transaksi 1MDB-MOF, berbanding pandangan berat sebelah oleh Guan Eng.

“Saya bersetuju sepenuhnya dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Seri Najib semalam (baru-baru ini) kerana sebaiknya siasatan ke atas 1MDB diteruskan mengikut proses yang sewajarnya, dan tidak tertakluk kepada perbicaraan melalui media ,” katanya.

Lokman Noor berkata, kerajaan sebelum ini sudah memulakan siasatan terhadap 1MDB dan ia masih berterusan sehingga sekarang.

“Pada Mac 2015, lebih kurang sebulan selepas beberapa dakwaan dibuat berkaitan dengan transaksi 1MDB yang lepas, Kabinet meminta Jabatan Audit Negara menjalankan audit khas ke atas 1MDB dan membentangkan hasil siasatan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

“Pada Julai 2015, PDRM menjalankan serbuan di pejabat 1MDB dan merampas sepenuhnya semua dokumen syarikat. Siasatan polis masih berterusan sehingga hari ini,” katanya.

Beliau juga berkata, Ketua Audit Negara turut menyenaraikan pelbagai isu tentang 1MDB kepada PAC, contohnya, tadbir urus kurang memuaskan, penyimpanan rekod yang lemah dan tiada pengesahan pelaburan dana.

“Pada bulan April 2016, PAC mengeluarkan laporan antara lain merangkumi penggunaan hutang yang berlebihan oleh 1MDB dan pelbagai salah-laku oleh pengurusan 1MDB terdahulu.

“PDRM telah diminta untuk menyiasat lanjut Datuk Shahrol Halmi dan pengurusan 1MDB terdahulu. Jelas sekali bahawa kerajaan terdahulu, di bawah Najib, sudah pun memulakan siasatan terhadap 1MDB yang masih berterusan sehingga hari ini,” ujar beliau.

Tambah beliau, meskipun siasatan polis berjalan, masih terdapat keperluan untuk melangsaikan hutang dan membangunkan projek-projek utama seperti Tun Razak Exchange TRX dan penempatan semula Pengkalan Udara Kuala Lumpur (PUKL) di Sungai Besi.

“Walaupun Menteri Kewangan menyenaraikan beberapa transaksi 1MDB- Kementerian Kewangan dalam kenyataannya, beliau tidak menerangkan asas atau alasan di sebalik keputusan yang dibuat oleh kementerian itu

“Contohnya, Kementerian Kewangan tidak menjelaskan dari perspektif perundangan dan perakaunan mengapa 1MDB memindahkan aset hartanah utama kepada kementerian itu pada harga nominal, sementara hutang tetap pada kunci kira-kira 1MDB.

“Satu-satunya jawapan logik, sudah tentu, adalah Kementerian Kewangan telah bersetuju untuk mengambil alih liabiliti tersebut yang memberikan kestabilan dan memberikan jaminan kepada 1MDB untuk membayar hutangnya,” katanya.

Jelasnya, Projek TRX telah dilaksanakan dengan komitmen pelabur tempatan dan antarabangsa semasa ia dipindahkan ke Kementerian Kewangan pada 31 Mac tahun lepas.

“MOF memulakan pembayaran liabiliti 1MDB hanya pada April 2017, iaitu, selepas pemindahan aset berlaku,” ujarnya.

“Jumlah deposit sebanyak RM 720 juta yang dibayar oleh bekas rakan usahasama projek itu, secara keseluruhan, telah digunakan untuk membayar kos projek penempatan semula PUKL Sungai Besi, supaya mempercepatkan usaha mengosongkan tanah untuk pembangunan,” tambahnya.- Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.