Manifesto hapuskan Tol hanya janji palsu kerajaan Pakatan

Pengumuman hanya memperuntukkan diskaun sebanyak 50 peratus kadar tol untuk tempoh dua hari sebelum hari raya Aidilfitri menunjukkan manifesto Pakatan Harapan untuk menghapuskan tol di seluruh negara hanya janji palsu Kerajaan Pakatan Harapan.
Kegagalan kerajaan Pakatan Harapan memansuhkan tol juga membuktikan langkah itu tidak realistik dan sukar dilaksanakan.
Dalam satu kenyataan, Unit Komunikasi Strategik UMNO berkata, Kerajaan Pakatan Harapan mungkin sedar janji berkenaan tidak realistik dan ia tidak lebih kepada ‘gula-gula’ politik ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
“Pengumuman hari ini (semalam) menyerlahkan Kerajaan Pakatan Harapan mungkin telah menyedari realiti bahawa penghapusan tol tidak realistik dan sukar dilaksanakan.  
“Sekaligus menunjukkan janji manifesto itu hanya sebagai janji atau ‘gula-gula’ politik bagi meraih undi,” katanya.
Dalam pada itu, Unit Komunikasi Strategik UMNO berkata, peringatan telah pun diberikan oleh agensi penarafan RAM Ratings yang mendakwa langkah menghapuskan tol akan memberi implikasi kewangan yang buruk kepada negara.
Katanya, langkah penghapusan semua tol bakal mengundang kerugian besar kepada pemegang konsesi dan kerajaan bagi tempoh singkat, selain mencetuskan persoalan tentang mekanisme untuk menampung perbelanjaan bagi menyelesaikan hutang syarikat konsesi.
“Menurut agensi penarafan RAM Ratings, penghapusan semua tol lebuh raya akan membabitkan bon dan sukuk berjumlah RM53 bilion. 
“Ini bermakna ia adalah kerugian besar kepada pemegang konsesi dan kerajaan bagi tempoh yang singkat,” ujar kenyataan itu.
Apa pun, janji telah pun dilakukan dan UMNO mendesak agar Kerajaan Pakatan Harapan melaksanakan janji mereka dan ikhtiar untuk menampung kos yang perlu ditanggung bagi memastikan janji berkenaan dilaksana.
“Oleh itu, Kerajaan Pakatan Harapan tidak wajar menggula-gulakan rakyat dengan janji penghapusan tol semata-mata untuk meraih undi. 
“Apa jua janji kepada rakyat, mestilah ditunaikan sebaik mungkin, tanpa alasan dan helah politik,” tambahnya. – Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.