Pasaran kewangan Malaysia lebih cenderung ke arah penyusutan.. – Moody’s Analytics

Ketidaktentuan membabitkan dasar yang disenaraikan kerajaan baharu terhadap ekonomi Malaysia menyebabkan pasaran kewangan Malaysia lebih cenderung ke arah penyusutan kata Pakar Ekonomi Moody’s Analytics, Katrina Ell.

Beliau berkata, Barisan Nasional telah memerintah selama 60 tahun dan apabila berlakunya perubahan pentadbiran baharu pastinya ia akan memberi implikasi kepada ekonomi.

“Barisan Nasional telah memegang tampuk pemerintahan selama 60 tahun dan ini merupakan perubahan besar dari segi peralihan kuasa.

“Oleh itu, kesan dari segi implikasi ekonominya juga akan memakan masa (untuk dinilai),” katanya.

Dalam pada itu, Ell mengulas tindakan kerajaan Pakatan Harapan memansuhkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) akan membuatkan kerajaan terlalu bergantung kepada pendapatan hasil minyak.

“Tindakan itu akan meningkatkan kebergantungan kerajaan terhadap pendapatan berasaskan hasil minyak dan mengurangkan asas pencukaian,” ujarnya.

Jelas All, walaupun kerajaan baharu akan memperkenalkan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) tetapi ia masih lagi hanya memberi kutipan kecil terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding GST.

“Tidak mungkin kesan berganda susulan penggunaan lebih tinggi akibat cukai lebih rendah dapat mengimbangi impaknya terhadap hasil kerajaan.

“Penyelamat sementara bagi Malaysia adalah kenaikan harga minyak. Negara ini merupakan pengeksport minyak bersih dan kenaikan harga minyak akan meningkatkan pendapatan cukai kerajaan, pengeluaran serta eksport.

“Hanya masa yang dapat menentukan sama ada perubahan rejim ini merupakan satu kejayaan manakala pemansuhan GST dan impak susulannya pula akan menjadi ujian pertama yang sebenar,” katanya lagi. – utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.