Ringgit semakin menyusut kerana risiko politik kerajaan baru

Ringgit dilihat meneruskan aliran harga menurun dan ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) susulan peningkatan permintaan terhadap dolar AS, kata peniaga.

Pada Isnin lalu, unit tempatan berada pada 3.9800/9850, bagaimanapun semalam pada jam 6 petang unit tempatan berada pada 3.9870/9900.

Menurut, Ketua Perdagangan OANDA di Asia-Pasifik, Stephen Innes, dolar AS akan terus meningkat kerana terdapat peniaga yang cuba menyelamatkan diri di tengah-tengah perkembangan yang berlaku dalam politik Itali.

“Dolar dijangka meningkat lebih tinggi lagi pada Jumaat ini apabila Rizab Persekutuan mengambil langkah lain ke arah lembaran imbangan yang normal,” katanya.

Manakala, jelasnya di pasaran tempatan ringgit dijangka akan kekal menyusut kerana berlakunya risiko politik dan pasaran masih cuba untuk mengetahui rancangan kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) untuk menyelesaikan defisit fiskal.

“Ringgit Malaysia akan terus berada di zon tiada perdagangan bagi pelabur asing yang kurang berminat terhadap bon dan ekuiti Malaysia,” katanya.

Sementara itu, unit tempatan itu didagangkan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang asing lain.

Ringgit mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.2904/2963 daripada 5.3037/3116 pada Isnin dan meningkat berbanding euro kepada 4.6301/6344 daripada 4.6435 / 6505 sebelumnya.

Ia menyusut berbanding dolar Singapura kepada 2.9714/9741 daripada 2.9690/9739 Selasa lalu dan turun berbanding yen kepada 3.6645/6680 daripada 3.6370/6419. – utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.