Gaji minimum RM 1500 dan pengurangan pekerja asing burukkan industri perladangan

Sebelum ini, Pakatan Harapan dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 telah berjanji mahu meningkatkan gaji minimum bagi semua jenis pekerjaan kepada RM1,500 jika berjaya memenangi PRU14.

Setelah berjaya menubuhkan kerajaan baharu, kerajaan Pakatan Harapan (PH) berjanji akan menunaikan manifesto sebagai ‘hadiah’ kepada rakyat yang mengundi.

Bagaimanapun, Sime Darby Plantation Bhd yang merupakan syarikat ladang kelapa sawit terbesar dunia menjangkakan janji mahu meningkatkan gaji minimum kepada RM1,500 akan memberi kesan buruk kepada industri perladangan.

Menurut, Timbalan Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Mohd Bakke Salleh, sekiranya cadangan itu dilaksanakan oleh kerajaan PH ia akan meningkatkan kos tenaga kerja kepada jumlah kos pengeluaran sebanyak 35% daripada 26% pada masa ini.

“Ini bermakna kos tambahan sebanyak RM185 satu tan metrik,” katanya.

Jelasnya, pihaknya dan pemain industri perladangan lain juga telah mengemukakan cadangan kepada kerajaan sekiranya gaji minimum dilaksanakan tetapi ia tidak diwajibkan kepada industri perladangan.

“Sekiranya dilaksanakan saya harap gaji minimum RM1,500 tidak akan diwajibkan kerana ia boleh mendatangkan kesan buruk ke atas kewangan,” katanya.

Dalam pada itu, Bakke turut bimbang dengan janji Pakatan Harapan mengenai mahu mengurangkan pekerja asing.

Katanya, industri perladangan adalah menggunakan hampir 70% jumlah tenaga kerja warga asing sekiranya jumlah pekerja asing dikurangkan ia pasti memberi implikasi besar kepada industri terbabit.

“Walaupun Sime Darby Plantation telah mencapai 85% kemajuan dalam automasi tetapi anda hanya boleh melakukan sebanyak itu sahaja dengan mekanisasi,” katanya.- utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com