Kerajaan negeri Perak pula buat tabung kutip derma dari rakyat

Selepas Tabung Harapan Malaysia (THM) mula dilancarkan baru-baru ini, kini giliran Kerajaan Negeri Perak pula akan membuat tabung patriotik bagi menerima sumbangan daripada orang ramai.
Menurut Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu, tabung berkenaan adalah usaha untuk membantu rakyat kurang bernasib baik dan memastikan individu yang memerlukan seperti mangsa bencana mendapat sumbangan melalui tabung itu.
“Walaupun perkara ini belum diuar-uarkan dengan meluas dan akaun secara rasmi belum dibuka, saya dikunjungi seorang individu yang menghulurkan derma RM100,000 kepada kerajaan negeri bagi kegunaan orang awam di negeri ini,” katanya.
Beliau juga berkata, Pegawai Kewangan Negeri, Mohd Ghazali Jalal akan membuka akaun untuk tabung berkenaan dan nombor akaun akan diumumkan tidak lama lagi.
Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata, perbincangan bersama kesemua ahli Exco kerajaan negeri akan diadakan pada minggu depan, berkenaan pemotongan gaji asas menteri besar dan ahli exco sebanyak 10 peratus.
Kata Menteri Besar Perak itu, beliau yakin dan percaya kesemua mereka akan bersetuju dengan hal tersebut.
“Kita akan buat apa dilakukan kerajaan Persekutuan seperti yang diumumkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad,” ujar beliau.
23 Mei lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan gaji jemaah menteri dikurangkan sebanyak 10 peratus dan ia berkuat kuasa serta merta.
Untuk ketika ini, negeri Kedah dan Pulau Pinang yang di bawah pentadbiran Pakatan Harapan turut mengikut langkah pemotongan gaji asas berkenaan. – Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.